Template by:
Free Blog Templates

Tuesday, July 20, 2010

 Memori Selamanya ~ Tiga Belas (i)

 

 ami

 

 

 

 

 

           “Eh! Zura, jom kita lepak sekejap kat taman sekolah tu. Ala... saja-saja duduk. Balik asrama pun bukan buat apa. Bosan!” Ajak Liza sebaik saja selesai makan tengah hari. Detik masa menunjukkan pukul 1.30 petang. Matahari telah lama memancar terik, namun keduanya masih berlegar di kawasan dewan serbaguna.

Azura membetulkan kedudukan beg yang digalas pada bahunya.

          “Ish! Tak naklah, Liza. Aku nak balik cepat. Lagipun banyak kerja rumah. Kau dah siap ke belum? Lain kali sajalah.” Balasnya menolak. Entah kenapa, kali ini dia menurut kata hati. Selalunya, dengan mudah dia menerima pelawaan Liza. Merayau-rayau dalam kawasan sekolah tanpa haluan. Bila tiba masa keluar bandar, boleh dikatakan merekalah orang yang paling awal keluar dari pagar asrama. Asyik berjalan sehinggakan pelajarannya juga turut diabaikan. Bila masuk kelas, fikiran kosong. Tiada isi menyebabkan dia selalu kena denda. Boleh dikatakan hampir setiap hari. Tapi hairannya, Liza tidak pula pernah disoal. Bijak menyorok di bawah meja bila masa disoal.

          “Hai, jadi rajin pulak! Sejak bila pula kau dah berubah ni?” Perlinya sambil mengerlingkan mata.

          “Eh! Suka hati aku lah. Takkan kau nak marah pula? Kalau kau, tak kisahlah sebab tak pernah kena denda. Tapi aku lain. Kalau dah hari-hari kena suruh berdiri, kena suruh keluar kelas, siapa boleh tahan. Aku pun tahu malu juga!” Tingkahnya tidak peduli. Cukuplah peristiwa di kelas tadi menjadi pengajaran penting buatnya. Biarlah itu yang terakhir. Dia tidak mahu mengulanginya lagi. Orang nak berubah, itu hal aku lah! Bentaknya dalam hati.

          “Hish! Itupun nak ambil hati ke? Buat bodoh je... Lama-lama kau biasalah tu. Tak pun kau ikut macam aku. Relaks je. Cikgu tak kata apapun!”

Azura mendengus. Geram.

          “Kau tu muka tebal. Jadi jangan nak samakan aku dengan kau pula! Aku lain kau lain. Daripada aku ikut kau, lebih baik aku ikut Ariza tu! Ada faedahnya.”

Liza mencebik bibir. Tidak suka.

          “Alaa... Cakap sajalah yang kau dah terpikat dengan budak tomboy tu. Kau tak sabar nak jumpa dia kan? Maklumlah dia selalu tolong kau. Selalu buat macam-macam untuk kau. Aku tau kau selalu merenung dia kan! Maklumlah dia tu comel. Mengaku je lah!” Cemuhnya lalu berjalan selangkah lebih maju dari Azura. Azura terpinga-pinga.

          “Hei! Yang kau nak marah ni kenapa? Kau cemburu ke kalau orang nak berbaik-baik dengan dia? Bukan rugi apapun. Dia pandai. Tak salah kalau aku belajar dari dia.”

          “Huh! Alasan! Kalau dah suka tu, cakap ajalah dah suka!” cemuhnya mengerling.

Azura terhenti. Raut wajahnya berubah. Tidak puas hati. Sepantas kilat dia menyentap lengan Liza. Liza tersentak dan terhenti.

          “Liza! Kau nak cakap siapa suka siapa sebenarnya, hah? Kau ingat aku tak tahu ke? Hei! Aku tahulah kau selalu mengejar dia. Mengada-ngada bila terserempak dengan dia. Entah-entah kau join K-do tu pun sebab Ariza kan? Sedarlah diri tu sikit! Huh! Macam lah orang tak tau!” Tempelaknya lalu berjalan pantas dan terus meninggalkan Liza terkapa-kapa sendirian. Hatinya puas.

0 comments:

Post a Comment

Bookmark and Share

My Recent Blog's

When My Heart Say...