Suria petang mula melabuhkan tirainya. Bayu bertiup lembut. Mendamaikan suasana. Mengundang penghuni alam untuk menikmati keindahan senja dengan penuh kedamaian. Azura masih di tepi tasik. Tidak berganjak dari duduknya. Matanya terus memerhatikan pelajar lain yang begitu asyik dengan aktiviti riadah. Dia menarik nafas dalam, kemudian melepaskan perlahan. Terasa di hatinya kembali lapang. Tenang seketika.
Sejenak dia melihat jam di pergelangan tangan kanan. Ehm! Dah pukul 5.30 petang. Tak sangka, masa begitu pantas berlalu. Dalam tempoh sesingkat ini, telah banyak yang berlaku dalam hidupku. Suka duka silih berganti, kenangan demi kenangan terus datang bertamu dan bersemadi dalam jiwaku. Namun kenangan bersamamu... seakan baru semalam ia berlaku dan dalam sekelip mata, ia lenyap begitu saja. Tanpa sebarang kesan, tetapi ia berkubur dalam hidupku. Riz, kenapalah aku jadi macam ni? Desis hatinya berbisik.Sejenak dia terkejut dari lamunan apabila bahunya dipegang dari belakang. Segera dia menoleh. Memandang. Rosniah tersenyum lalu mengambil tempat di sebelah Azura. Azura membalas senyuman itu.
“Hari dah semakin senja ni. Kau tak nak balik lagi ke?”
Azura menggelengkan kepala. Kemudian menghalakan pandangan matanya kembali ke hadapan. Memandang terus hingga ke dasar tasik.
“Belum lagi. Nanti sekejap. Aku ingin menghabiskan masa petangku dengan melihat keindahan tasik ni. Kalau kau nak balik dulu, baliklah. Nanti aku menyusul.”
Rosniah memandangnya.
“Tak apa, aku tunggu kau. Zura, aku tengok kau selalu datang ke sini setiap petang. Cara kau memandang tasik tu, seolah-olah kau sedang membayangkan sesuatu dari permukaan tasik tu. Aku tahu, kau teringatkan dia, bukan.”
Azura tidak menjawab. Sebaliknya menundukkan kepala. Memandang ke bawah. Memang betul, Ros. Aku teringatkan dia. Dan aku tidak tahu kenapa aku terlalu mengenangnya... Bisiknya sendiri. Rosniah memegang bahu Azura lalu menepuk perlahan. Dia faham. Diam maknanya benar. Dan dia tidak perlu bertanya lagi.
Azura membiarkan. Seketika dia memandang Rosniah, kemudian mengalihkan pandangan matanya kembali ke depan. Ingatannya kembali lagi. Rosniah. Satu-satunya rakan yang dikenali sejak sekolah menengah dulu. Meskipun dia pindah sekolah selepas peristiwa itu dan sejak itu dia tidak lagi bertemu dengan Rosniah, namun pertemuan kembali di Universiti membuatkan hubungan mereka kembali terjalin. Apatah lagi Rosniah turut rapat dengan Riz, insan yang diingati Azura. Sesungguhnya memang benar dunia ini kecil. Selagi hidup, pasti bertemu walau di mana jua berada. Hmm... Cuma Riz saja yang tak mungkin ku temui kembali...
“Zura, aku tahu. Jauh di sudut hatimu, kau masih berharap untuk bertemu dengannya lagi bukan. Kau mahu dia kembali seperti dulu. Tapi kau tentu tahu, itu sesuatu yang mustahil. Terimalah kenyataan yang dia takkan kembali lagi.”
“Tidak, Ros. Aku percaya pada ketentuan-Nya. Tiada yang mustahil bagi-Nya untuk berlaku.”
“Itu memang betul, Zura. Tapi dalam hal macam ni kau tidak boleh...”
“Jangan bimbang, Ros. Sekalipun aku adakalanya mengharap, tapi sebenarnya aku telah lama menerima hakikat yang dia sudah jauh. Aku masih boleh kawal diriku walaupun kadang-kala aku rasa sukar. Aku masih ada impian bersama Riz. Impian yang perlu ku capai.”
Rosniah memegang erat bahu Azura.
“Zura.”
Azura senyum. Dia memegang tangan Rosniah.
“Aku faham maksud kau, Ros. Dulu kau pernah kata padaku. Dia bukan pergi terus, tapi sentiasa hadir dalam hidupku. Kasih sayangnya sentiasa ku rasai sehingga kini. Aku takkan lupa, Ros. Aku takkan lupa semua tu.”
“Baguslah kalau kau masih ingat, Zura.”
Azura memandang Rosniah. Masih ingat bila kata-kata itu dilafazkan padanya. Kata-kata yang diucapkan pada saat dia kehilangan sahabatnya itu. Dia membetulkan anak rambut yang menutupi raut wajahnya. Hembusan angin yang lembut.
“Kau tentu tahu, bukan mudah untuk melupakan sesuatu. Apatah lagi tentang dirinya. Segalanya masih terpahat dalam jiwaku.”
“Zura, nampaknya kau masih seperti dulu. Percakapan pun masih tiada bezanya.”
Azura ketawa kecil. Menggelengkan kepala. Dia kemudiannya bingkas. Berdiri.
“Macam budak lagi ke? Hehe! Dahlah. Jom kita balik. Dah lewat ni. Solat pun belum lagi ni.”
Rosniah turut berdiri. Akur.
“Jom lah. Eh! Esok ada Karate-Do InterVarsity Tournament. Apa kata kalau kita pergi tengok. Kau nak tak?”
Azura terpaku seketika. Karate-Do? Dulu pun aku pernah pergi tengok. Tapi waktu tu Riz yang masuk bertanding. Dan aku masih ingat lagi siapa lawannya di peringkat akhir. Riz memang hebat! Kak Farina yang lebih besar dari dia pun boleh kalah. Memang patut aku mengaguminya di kala itu! Azura senyum sendiri.
Rosniah menggelengkan kepala berkali-kali. Dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran Azura. Tak lain... mesti pasal Riz lagi!
“Azura!” Sergahnya mengejutkan.
Azura tersentak. Segera dia memandang Rosniah.
“Apa?”
Rosniah mendengus nafas perlahan. Budak ni... bahaya betul! Asyik mengelamun saja! Parah kalau dibiarkan berterusan.
“Kau memang tak boleh dibiarkan bersendirian, Zura. Dalam sekelip mata saja fikiran kau dah melayang. Aku pula yang risau dengan kau ni.”
Azura terdiam. Namun tetap mengukir senyuman. Dia kemudiannya mengatur langkah. Beredar keluar sementara Rosniah mengikuti dari belakang. Menunggu jawapan.
“Jangan bimbang. Aku tetap pergi walaupun bukan aku yang bertanding. Sekurang-kurangnya datang untuk memberi sokongan kepada pasukan kita. Betul tak?”
“Betul tu. Okaylah kalau begitu, kita pergi sama-sama ya. Tapi, jangan pula kau datang bila dewan dah kosong. Kau faham kan,” usiknya lagi sambil menguis hidung Azura.
Azura ketawa lagi. Dia tahu Rosniah sengaja mengusiknya dengan kisah di zaman sekolah. Pada ketika itu, Azura muncul di saat perlawanan hampir tamat.
“Ros, Ros. Aku faham maksud kau. Tentunya kau kaitkan aku dengan peristiwa lalu kan. Jangan bimbanglah. Kali ni aku takkan buat lagi.” Janjinya sambil memegang tangan Rosniah lalu menghayunkan perlahan.
Rosniah turut ketawa kecil.
“Tak sangka kau ingat lagi. Kuat juga ingatan kau ni,” usiknya kemudian memegang bahu kanan Azura.
“Eh! Tengok oranglah. Ehm! Ros, kalaulah Riz pun ada dalam tournament tu kan bagus. Bersemangat sikit aku nak datang tengok. Hmm... kalaulah dia masih ada, bagaimanalah agaknya wajah dia sekarang? Tentu bertambah cute kan . Tapi, harap-harap dia masih macam dulu. Taklah susah kalau aku nak cari. Betul tak?”
Rosniah menggelengkan kepala.
“Zura, Zura. Sudahlah tu. Jangan diangankan lagi. Kalau dia ada pun, belum tentu orang yang kau jumpa tu adalah dia. Confirm lah wajah pun dah berubah. Aish! Muka budak dgn muka sekarang mana boleh sama... ”
“Eh! Aku sama je dengan dulu. Mana ada berubah.” Ujarnya sambil ketawa kecil. Rosniah mencuit pinggang Azura. Azura cuba mengelak. Dia terus tersenyum. Kalaulah aku dapat jumpa orang yang seiras dia...
0 comments:
Post a Comment