Template by:
Free Blog Templates

Tuesday, June 8, 2010

 Memori Selamanya ~ 12 part 2

 

ami

 

 

          “Ma.. Maaf, cikgu!” Hanya itu yang terkeluar dari mulutnya.

          “Ish! Kamu ni, Azura.. Apa nak jadi pun tak tahulah. Kamu dengar kan soalan saya tadi. Apa jawapannya? Saya tunggu ni.” Cikgu Azimah menghampiri. Di tangannya ada sebuah buku yang masih terbuka. Wajah Azura ditatapnya.

 

Azura tercengang.

         “Hah?! Jawapan? Soalan...? Soalan apa tu, cikgu?” Tiba-tiba dia menjadi kecut. Gugup. Hatinya mula diburu kebimbangan. Dia tunduk.

Muka cikgu Azimah mula menyeringai.

         “Aiks! Kamu tanya saya balik? Habis, apa yang kamu buat tadi? Tersengih-sengih. Mengelamun?!!”

Azura terdiam. Dia tidak berani nak mengangkat muka. Dadanya berdebar-debar.

         “Kamu tak dengar apa soalan saya tadi? Hish! Itulah, mengelamun lagi! Hah! Cepat sebutkan contoh gas nadir dalam udara?!”

Azura terkelu lagi. Fikirannya kosong.

      “Gas nadir? Apa tu?” Dia segera menyelak buku sains di hadapannya. Tangannya terketar-ketar. Kelam kabut. Fikirannya gelap. Ish! Kenapalah masa ni pula...

         “Ini bukan masa kamu nak menyelak buku, Azura! Saya dah terangkan tadi, mana kamu letak telinga kamu?” Dia terus memandang tingkahlaku Azura. Azura tidak memperdulikan. Dia terus membelek buku.

       “Tak dapat juga? Hah! Kamu berdirilah sampai penyelamat kamu sampai!” Perlinya tanpa memberi peluang kepada Azura untuk merujuk buku. Azura serba salah. Dalam keadaan yang kalut, apapun tidak mungkin timbul dalam fikiran. Dia terus menyelak. Debaran di dada kian pantas. Cikgu ni...! Getusnya geram.

 

Cikgu Azimah merenung setiap wajah-wajah pelajarnya yang berdiri. Masing- masing terus menundukkan kepala. Dia berdiri di hadapan Azura. Menatap wajah itu, namun Azura ikut menundukkan kepala. Tidak berani. Dia mengeluh. Sekilas Ariza memandang. Seperti kedengaran di telinganya. Tidak lama Cikgu Azimah maju ke depan semula, berdiri membelakang papan hitam.

        “Siapa nak jawab? Takkan semuanya bisu? Tak tahu ke atau pemalas? Bila saya tanya faham ke tak, semua jawab faham. Tapi bila saya tanya, masing-masing diam! Apa yang kamu belajar selama-”

        “Cikgu, saya nak bantu Nur Azura. Saya nak cuba jawab.” Pintas Ariza tiba-tiba sambil berdiri. Dia melirikkan mata ke arah Azura sebelum memandang ke depan semula. Beberapa pasang mata mula tertumpu ke arahnya. Cikgu Azimah kembali tenang. Dia melangkah ke depan sedikit. Mendekati meja pelajar paling hadapan.

          “Kamu Ros Ariza, kan? Kamu cakap tadi kamu nak bantu Azura? Kenapa?”

         “Sebab dia kawan saya.” Jawapan yang ringkas. Serta merta Azura menoleh memandang Ariza. Namun Ariza terus berdiri kaku.

          “Ehm! Kiranya kamu nak jadi penyelamat dia la ni.. Hah! Kalau macam tu apa contoh gas nadir?”

          “Neon, Argon, Kripton, Helium dan Xenon.” Begitu pantas dia menjawab. Melenyapkan kebuntuan.

          “Apa kegunaan Neon?” Soalnya lagi terus menguji. Dia bermundar-mandir.

          “Ia berwarna jingga dan digunakan dalam lampu iklan.”

          “Argon?”

          “Ia digunakan dalam mentol berfilamen agar tahan lama.”

          “Xenon?”

          “Digunakan sebagai ubat bius dan juga dalam lampu isyarat.” Jawabnya dengan lancar.

Cikgu Azimah mengangguk kepala. Dia tidak lagi menyoal. Berpuas hati dengan jawapan itu dan mula tersenyum. Kemarahan yang terbit di hatinya, mula beransur reda.

          “Bagus! Macam ni lah yang saya mahu. Faham dengan apa yang saya tanya. Sekarang kamu boleh duduk, Ariza. Kamu juga Azura.”

Ariza menghela nafas panjang. lega. Dia kembali duduk. Begitu juga Azura

          “Yang lain yang tengah berdiri tu, kamu juga boleh duduk. Berterima kasihlah kepada Ariza sebab membantu kamu. Lebih baik kamu belajar dari dia. Kalau tak, kamu berdirilah sepanjang masa.” Suaranya mula mengendur. Tidak lagi marah.

 

          Bunyi kerusi ditarik mula kedengaran. Namun selepas itu kelas terus menjadi sunyi. Penerangan bermula lagi. Azura membelek buku. Sepintas matanya melekat ke wajah Ariza yang menundukkan kepala. Sedang membaca buku. Tenang tanpa senyuman. Dia memandang depan semula. Mendengar penjelasan cikgu Azimah.

          Fikirannya menerawang lagi. Dia ni... Ini bukan kali pertama dia tolong aku dalam kelas. Setiap kali aku tak dapat jawab, dia pasti bantu. Tapi kalau orang lain yang disoal, tak pula dia sibuk. Kecualilah kalau dia yang disoal atau cikgu tengah menggila waktu tu. Ehm, mungkin aku saja yang berprasangka buruk pada dia. Menganggapnya sombong sebab keseriusan wajah yang dimiliki. Susah nak senyum. Ah! Dia memang bijak. Roomates aku pula tu. Sepatutnya aku mengambil peluang ni untuk rapat dengannya. Detik hatinya lalu memberikan tumpuan ke papan hitam semula.

0 comments:

Post a Comment

Bookmark and Share

My Recent Blog's

When My Heart Say...