Template by:
Free Blog Templates

Wednesday, June 2, 2010

 Memori Selamanya ~ 12 part 1

 

 

images2

 

 

Azura membiarkan buku di hadapannya terus terdedah. Mata memandang pada setiap baris ayat yang tertulis, namun fikirannya jauh melayang entah ke mana. Penerangan cikgu Azimah mengenai kandungan udara dalam persekitaran di depan bagaikan desiran angin yang menghembus lembut ke telinganya. Begitu mengasyikan. Begitu melekakan. Kelopak matanya turut berkerdip lambat. Kaku. Fikirannya terus menerawang. Satu persatu mula mengisi di ruang ingatan, dan terus menerjah mengasak kepala. Peristiwa yang berlaku di depan mata, namun itulah yang terus membunuh benih kepercayaan yang baru dipupuk. Semuanya berlaku dalam sekelip mata.

          “Kau! Kalau kau masih nak memotong jalan aku, kau takkan selamat, Dira! Kau ingat cakap aku ni betul-betul! Aku takkan lepaskan kau begitu saja. Kau faham tak?!!” Gertak Farina dengan suara yang tinggi.

          “Kau ni, kenapa? Apa maksud kau degan mengugut aku macam tu? Tiba-tiba aje nak serang orang. Bila masa pula aku nak potong jalan kau? Siapa yang kau maksudkan ni?” Tingkah Nadirah cuba mempertahankan diri apabila dirinya dikelilingi oleh rakan-rakan Farina.

Farina menuding jari tepat ke muka Nadirah. Raut wajah Nadirah serta merta berubah. Tegang.

          “Kau jangan nak berdalihlah, Dira. Aku tahu kau faham maksud aku! Kau bukannya bodoh! Hei! Kau dengar ni baik- baik, Ini amaran aku yang terakhir. Aku nak ingatkan kau. Kalau kau masih nak menghampiri Badrul dan Zura, kau tahulah nasib kau!” Farina terus memberi amaran lalu menyentap kuat lengan Nadirah. Nadirah menepis kuat, namun Farina tidak melepas.

 

Azura terpaku di muka pintu tandas awam. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Niatnya untuk membasuh muka, serta merta hilang. Lidahnya kelu. Farina dan rakan-rakannya bagaikan watak penjahat, manakala Nadirah pula sebagai heroin yang menantikan heronya datang. Namun, dia tidak pasti sama ada hero akan muncul atau tidak. Itu cuma cereka filem yang selalu dilihatnya. Realiti hidup selalunya tak semudah yang dipaparkan. Keadaan tandas yang lengang, memudahkan Farina melampiaskan sikapnya. Dia menggelengkan kepala. Tidak menduga.

Bunyi pintu yang berkeriut mengejutkan Farina dan Nadirah. Mereka terus menoleh. Sepintas Farina melepaskan sentapannya dan berundur sedikit. Dia tergamam. Nadirah berpaling wajah.

          “Zura?! Kau...? Kenapa boleh ada di sini?” Dia benar-benar terkejut.

Azura masih terpaku. Begitu ringan kakinya melangkah untuk memasuki tandas awam itu. Rupanya, ada kisah yang perlu diketahui. Tak semena-mena dia terus lari dari situ. Tidak sanggup untuk berdepan dengan orang yang selama ini berlagak baik, cukup menjaga tutur kata dan tingkahlaku. Pendek kata semuanya baik pada pandangan mata. Tetapi sebenarnya, dialah manusia yang paling teruk di dunia. Hipokrit! Aku takkan berjumpa dengan dia lagi! Jerit hatinya.

 

Itu kisah lalu ketika dia dan Liza keluar bandar. Pertemuan yang tidak diduga di sebuah shopping complex. Tapi itulah yang membuka mata hatinya seluas-luas. Keakraban dengan Liza yang selalu bersama Farina, akhirnya membongkar siapa dia sebenar. Kasihan kak Nadirah. Kerana nak mempertahankan aku, dia terpaksa berdepan dengan kak Farina. Keluhnya sendiri.

        “Farina sukakan Badrul, rakan sekelasnya juga. Tapi Badrul tak bagi respon langsung sebab dia lebih minatkan Nadirah walaupun Nadirah tidak pernah membalas. Namun bila dia tahu Zura rapat dengan Nadirah, bertambah lagi kebenciannya pada Nadirah. Tapi, Nadirah diamkan saja.”

Itulah penjelasan yang diberikan oleh Ardilla, rakan sekelas Nadirah bila dia bertanyakan hal itu.

 

Azura menghela nafas yang panjang. Kak Nadirah... Keperibadiannya membuatkan ramai yang menyenangi. Tapi itu juga yang mengundang kebencian sesetengah pihak. Dia sendiri mengakuinya setiap kali bertemu dengan Nadirah.

         “Zura, kalau ada masalah yang tidak dapat ditanggung, jangan suka pendam sendiri. Luahkan pada kawan rapat atau pada siapa saja yang Zura percayai.”

Begitu lembut suara Nadirah berbisik ke telinga apabila dia muram. Lantas memberikan kepercayaan padanya untuk meluahkan segala yang terbuku di hati. Bukan sekali, tapi berkali-kali dia meluahkan kepada Nadirah. Begitu tekun Nadirah mendengarnya. Ah! Dia memang seorang kakak yang penyayang... Rindu pula! Keluhnya perlahan.

          “Zura, dengar tak?”

Azura mengangguk lagi. Kelembutan suara itu masih terngia-ngia di corong telinganya. Wajah Nadirah yang tersenyum terus tergambar di depan mata. Dia tersenyum.

          “Azura, kamu dengar tak ni?”

Azura tersipu-sipu. Iya, saya dengar ni, kak...

          “Nur Azura! Kamu dengar tak saya panggil?”

Azura pegun. Eh! Apasal pula suara kak Nadirah berubah menjadi nyaring ni? Siap panggil nama penuh lagi. Eih! janggalnya... Dah tu, bernada tinggi pula! Kak Nadirah marah ke?

         “Nur Azura binti Abdul Halim!!!” Jeritnya kuat membuatkan seisi kelas terus menjadi senyap. Ariza terus menyinggung siku Azura, membuatkan Azura tersentak. Bayangan Nadirah terus hilang. Dia memandang sekelilingnya. Semua mata tertumpu ke arahnya. Ariza membatu diri. Terdapat beberapa orang pelajar sedang berdiri. Eh! Aku di kelas? Ingatkan bersama kak Nadirah... Segera dia memandang ke depan. Mata cikgu Azimah terkebil-kebil sambil bercekak pinggang bila memandangnya. Marah. Azura kaget. Dia segera berdiri.

          “Ma.. Maaf, cikgu!” Hanya itu yang terkeluar dari mulutnya.

0 comments:

Post a Comment

Bookmark and Share

My Recent Blog's

When My Heart Say...