Template by:
Free Blog Templates

Monday, July 25, 2011

 Secebis Kasih Dalam Kenangan…

 

image040

 

 

“…sayangku… tahukah kau di dalam hatiku ini

tersimpan perasaan cinta yang suci

kau bunga.. inginku suntingmu menjadi milikku

lantas ku abadikan dalam jiwaku…

sayangnya harapan yang selama ini ku bawa

hancur berkecai musnah jua akhirnya

semuanya bagaikan sebuah mimpi…”

 

          Aku mengenali Haiza dalam satu kursus jangka pendek yang dianjurkan oleh jabatanku. Sebelum ini aku selalu mendengar cerita-cerita tentang dirinya dari jabatan lain. Rakan-rakanku selalu memuji akan dirinya membuatkan aku benar-benar ingin bertemu dengannya. Aku ingin mengenalinya dan menilai sendiri kebenaran yang disebarkan oleh rakan-rakanku.

 

          Takdir menentukan aku bertemu juga dengan Haiza. Pada ketika itu aku telah mempunyai kekasih, tetapi hubungan kami di ambang retak menanti belah walaupun aku telah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya. Haiza memang tahu perkara itu tetapi tidak pernah sesekali untuk mengeruhkan keadaan. Sebaliknya dia terus memberi sokongan agar aku memperbaiki hubungan.


          Dalam diam aku mula menyukai Haiza. Sepanjang kursus itu, aku cuba untuk menarik perhatiannya. Namun aku gagal kerana Haiza juga sudah mempunyai kekasih hati. Tapi aku tidak peduli. Semasa ujian praktikal, aku berpeluang untuk duduk di sebelahnya. Peluang inilah ku gunakan sebaik mungkin untuk menatap wajahnya yang ayu. Seindah wajah secantik bahasa. Ah! Aku benar-benar jatuh cinta padanya…  Aku pasti sesiapa yang dapat memiliki hatinya adalah orang yang cukup bertuah.


          Aku benar-benar tidak dapat melepaskan kepergiannya di akhir kursus. Aku takut tidak dapat berjumpa dengannya lagi, tetapi Haiza berjanji akan terus menghubungiku sebagai kawan. Aku tak boleh menganggap begitu, tetapi aku akur. Mungkinkah dari kawan akan beralih kepada percintaan..?


          Setahun berlalu, aku dan kekasihku sudah membawa haluan masing-masing. Sepanjang tempoh itu juga, Haiza menunaikan janjinya sebagai kawan. Setiap kali Haiza datang ke daerahku, kami berjumpa dan akhirnya aku meluahkan perasaan yang ku pendam. Tetapi Haiza menolakku kerana dia sudah bertunang. Oh! Aku kecewa, tetapi aku takkan berputus asa. Aku akan tetap mencuba untuk menawan hatinya…


          Tidak lama Haiza berpindah kerja ke daerahku. Aku semakin kerap bertemu dan menghubunginya. Cintaku padanya semakin mendalam. Aku tahu kesungguhanku telah membuatkan hatinya tersentuh kerana dia pernah berkata… “ andainya aku bertemumu sebelum dia, mungkin aku telah jatuh cinta padamu. Tetapi aku tidak boleh menduakan kasihku padanya. Dia cintaku yang kekal…”. Mendengarkan itu, aku kecewa lagi tetapi aku akur. Demi cintaku padanya, aku pasrah untuk menjadi kawan baiknya.


          Hari-hari terus berlalu, aku tidak dapat membohongi diriku lagi. Aku merayu padanya agar menerimaku juga walaupun diibaratkan ‘kekasih gelap’. Aku tahu aku salah kerana mengambil kesempatan di atas masalah yang dihadapi bersama tunangnya, tetapi aku benar-benar tidak mampu untuk menangung kasihku padanya. Aku terlalu menyintai dirinya.


          Namun takdir tidak menyebelahi aku. Tunangnya tahu akan kehadiranku. Haiza dipukul tetapi tidak mahu melepaskan. Aku tidak tahu berapa lama perkara ini berlarutan kerana Haiza tidak menceritakan padaku. Kerana cintaku, Haiza tersepit antara kawan dan tunang. Akhirnya Haiza terpaksa melepaskan aku kerana kasihnya pada tunang walaupun dia dilukai. Sekali lagi aku kecewa. Demi untuk melihat Haiza bahagia, aku membawa cintaku berkelana. Kerana aku terlalu menyayanginya, aku tidak sanggup dia menangis lagi.


          Beberapa tahun telah berlalu, namun cintaku masih tidak berubah. Aku cuba untuk menerima orang lain, tetapi semuanya tidak kesampaian. Bagiku Haiza adalah cinta sejatiku. Mungkin aku telah menutup pintu hatiku selain Haiza, tetapi aku tidak menemui seseorang yang setanding dengannya. Cintaku padanya kan ku bawa hingga ke mati. Adakalanya aku menghubunginya sekadar bertanya khabar. Dia telah berkahwin tidak lama selepas kejadian itu. Mungkin dia kini bahagia bersama insan kesayangannya. Aku cuma dapat berdoa agar suaminya akan menjaga Haiza sebaiknya kerana dia insan kesayanganku.


          Namun kebahagiaan Haiza tidak berkekalan lama. Suaminya melepaskan Haiza kerana orang lain. Aku benar-benar terkejut. Tergamak suaminya meninggalkan Haiza yang cukup baik padanya. Di mataku Haiza mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang wanita. Apa lagi yang kurang pada Haiza, aku sendiri tidak faham. Kerana Haiza masih menganggapku sebagai kawan baik, dia menghubungiku bukan kerana ingin merayu cintaku, tetapi kerana dia terlalu terluka dan memerlukan sokongan untuk bangkit semula. Aku benar-benar sedih, tetapi aku rasa bersyukur kerana mungkin inilah peluang yang diberikan padaku untuk mendapatkan kembali cintanya padaku.Tetapi ia tidak semudah itu untuk Haiza menerimaku. Dia masih mengharapkan kasih suaminya untuk kembali. Aku tidak bersetuju, tetapi aku akur kerana itu hatinya. Aku cuma berharap dia akan kembali seperti dirinya yang ku kenal sebelum ini.


          Saban hari aku menghubungi dengan harapan dia dapat merasai keikhlasan cintaku padanya. Aku mula merasakan senyuman dalam setiap perbualanku, tetapi dia masih menganggapku sebagai kawan. Aku tidak pernah berputus asa kerana aku benar-benar ingin membahagiakan dia dengan kasih sayangku.


          Pada suatu hari, entah kenapa tiba-tiba hatiku resah sangat untuk menghubunginya. Namun bukan Haiza yang menyambut panggilanku, tetapi rakan sejawatnya. Tika itu, jantungku luluh bila mendengar Haiza telah dimasukkan ke hospital kerana terjatuh di pejabat. Dia pengsan. Barulah aku sedar bahawa selama dia ditinggalkan suami, hidupnya tidak seceria dulu. Aku silap kerana menganggap senyum tawanya ketika bersamaku menggambarkan kelukaan hatinya telah pulih. Rupanya itu cuma lakonan kerana tidak mahu aku bersedih, sedangkan pada ketika itu aku mula menyakini bahawa Haiza akan menerima cintaku semula.


          Aku bergegas ke hospital dan betapa luluhnya hatiku bila melihat keadaannya. Wajah ayunya cengkung, tubuhnya susut… dan akhirnya air mata lelakiku jatuh juga di situ. Aku tidak sanggup melihat penderitaannya. Aku betul-betul menangis bila mengetahui cinta hatiku akan pergi meninggalkan aku untuk selama-lamanya. Bertambah tangisanku melihat dia masih tersenyum bila memandangku dan meluahkan perasaannya…

 

“ …Maafkan aku kerana tidak dapat menerima cintamu walaupun aku tahu betapa dalamnya kau menyintaiku selama ini. Kau memang lelaki yang baik, tetapi aku tidak melupakan suamiku walaupun dia telah melukakan hatiku sebegini. Kasihku padanya terlalu mendalam dan biarlah sehingga akhir hayatku. Maafkan aku kerana telah banyak melukakan hatimu. Percayalah… Aku sayangkan kau kerana kau sahabat sejatiku. Aku harap kau akan menemui seseorang yang dapat membahagiakan dirimu…”


          Aku menangis semahunya kerana itulah kata-kata terakhir yang ku dengar. Aku tidak peduli lagi dengan orang sekelilingku bila aku memeluknya erat untuk kali terakhir. Itulah kali pertama aku menyentuhnya. Aku bagaikan tidak percaya bahawa sehingga akhir hayatnya pun aku masih tidak dapat memiliki kasihnya. Harapanku untuk hidup bersamanya telah berkecai. Aku benar-benar terkilan. Dalam hatiku menyalahkan suaminya kerana menjadi penyebab cinta hatiku pergi dalam kesedihan. Aku takkan memaafkan suaminya kerana telah mensia-siakan Haiza, dan itulah yang ku lakukan apabila dapat menghubungi suaminya itu. Selama ini aku percaya suaminya akan membahagiakan Haiza bila Haiza tetap memilihnya, tetapi apa yang berlaku Haiza telah dikecewakan. Hatiku benar-benar terluka.


          Kini hampir 20 tahun berlalu sejak Haiza meninggalkan aku. Aku masih tidak dapat melupakan dia. Apatah lagi untuk mencari penggantinya. Cintaku biarlah ku bawa hingga ke mati. Walaupun hanya seketika, tetapi bagiku dialah insan teristimewa yang pernah hadir dalam hidupku. Haiza telah membahagiakan aku dengan kasih sayangnya sebagai kawan. Apa yang ku dengar, suaminya juga tidak bahagia selepas pemergian Haiza. Mungkin inilah balasan di atas apa yang telah dilakukan pada Haiza. Kebahagiaan yang dibina di atas penderitaan orang lain takkan berkekalan lama. Aku pasti akan itu.


          Walaupun begitu, aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana sekurang-kurangnya aku dapat juga merasai secebis kasih Haiza yang terus menyinari hatiku sehingga kini. Aku tidak pernah melupakan segala kenangan bersamanya. Semoga roh cinta hatiku ini akan tenang dan sentiasa mendapat rahmat di sisi penciptaNya… Amin!


“… Belum tentu apa yang dikejar akan menjanjikan kebahagiaan. Belum tentu juga apa yang kita tinggalkan akan menambah kebahagiaan. Mungkin dia bukanlah yang terbaik, tetapi belum tentu juga apa yang kita cari lebih baik dari itu. Apa yang penting, sayangilah dan hargailah mereka yang telah banyak berkorban dan menyayangi kita sepenuh hati sebelum terlewat…”

0 comments:

Post a Comment

Bookmark and Share

My Recent Blog's

When My Heart Say...