Template by:
Free Blog Templates

Tuesday, August 23, 2011

 ~ Wujudkah Peluang Apabila Kehilangan? ~

 

 

         

animi2

         

 

 

 

          Kadang-kadang kita ni boleh terleka dari apa yang telah kita perolehi. Kita merasakan kita telah memilikinya, maka kita tidak perlukan apa-apa selepas itu untuk menjaga. Apabila sudah kehilangan, barulah kita tercari-cari dan rasa menyesal kerana tidak menjaga sebaik mungkin semasa masih ada.

          Kehilangan sesuatu yang dimiliki bukan setakat kebendaan, tapi juga sesuatu yang terlalu bernilai, misalnya seseorang yang pernah hadir dalam hidup kita. Mungkin kehilangan untuk selamanya atau hanya di dunia ini.

 

         “Aily, pernah kah kau kehilangan seseorang yang bermakna dalam hidupmu?”

         “Pernah. Tapi bukanlah kehilangan untuk selamanya. Kenapa kau bertanya?”

          “Aku ingin meluahkan sesuatu kalau kau tidak keberatan. Boleh kah?”

          “Ceritalah. Aku sedia mendengarnya.”

          “Pagi tadi aku ditanya oleh seseorang yang ku sayang kenapa aku berubah selepas kami berpisah. Dia kata dulu aku tak macam ni. Dia kata dulu aku begitu susah untuk menerima pelawaannya. Kalau dia ajak aku balik kampung, aku selalu suruh dia balik seorang. Kalau dia mengadu apa-apa, aku selalu buat endah tak endah membuatkan dia rasa keseorangan. Setiapkali dia perlukan teman, aku selalu mengadu penat. Selalu biarkan dia seorang-seorang. Tapi selepas kami berpisah, dia terasa aku berubah sangat.”

          “Kau rasa kau memang berubah ke?”

          “Entahlah, aku pun tak tahu.”

          “Aku nak tanya kau. Adakah kau masih sayangkan dia?”

          “Dari dulu sampai sekarang, aku memang sayangkan dia, Aily. Aku terlalu sayangkan dia sehinggakan aku sanggup buat apa saja untuk dia.”

          “Kalau kau begitu sayangkan dia hingga sanggup buat apa saja untuknya, kenapa kamu boleh berpisah?”

          “Dia kata dia terasa keseorangan dan kesunyian. Mungkin juga aku bersalah kerana telah mengabaikan dia dalam masa aku sibuk memikirkan apa yang terbaik untuknya. Aku silap kerana membiarkannya. Aku ingatkan apa yang telah aku berikan selama ini sudah cukup untuk menjamin perhubungan kami, tapi aku memang salah.”

          “Cara kau bercakap tu seolah-olah kau menyesal dengan apa yang kau lakukan dulu. Mungkin sebab itu kau berubah. Mungkin kau ingin menawan hatinya semula.”

          “Aku tak mengharap apa-apa, Aily. Dia sudah pun ada pengganti. Mustahil dia nak terima aku semula. Dia pun sendiri cakap macam tu.”

          “Kalau kau tak mencuba, macam mana kau nak tau. Cubalah sampai kau betul-betul dah give up. Dia masih sayangkan kau tak?”

          “Dia cakap dia masih sayangkan aku. Dia juga cakap bukan senang untuk dia lepaskan aku. Sedikit sebanyak sedikit perasaannya masih ada padaku. Tapi dia tak boleh buat apa-apa. Dah terlanjur kata sama ada pada aku ataupun yang baru itu.”

          “Mungkin itu tandanya kau masih mempunyai harapan untuk berbaik-baik semula dengan dia.”

          “Entahlah, Aily. Aku pun tak tahu. Dulu aku memang jarang nak meluangkan masa bersamanya. Dia tengok TV, aku tidur. Aku masak tapi kadang-kadang dia makan seorang. Tapi sekarang ni aku rasa lain sangat. Bila dia tiada di depan mataku, aku rasa gelisah sangat. Rindu sangat nak menatap wajahnya, padahal dia bukanlah hensem sangat pun! (ujarnya sambil ketawa, tetapi ku lihat kelopak matanya sudah mula bertakung.)

Aku terdiam.

          “Semasa kami mula-mula berpisah, aku rasa bagai nak gila. Siang malam aku menangis. Bercakap sorang-sorang. Hatiku benar-benar kosong seolah-olah aku hilang arah. Tak boleh nak tidur. Selera makan pun terus hilang. Dalam seminggu dua, aku langsung tak makan sampai susut macam ni. Aku asyik menyalahkan diriku kerana tidak menjaga dia dengan sebaiknya.”

          “Kau janganlah sampai macam tu sekali… Itu menyiksa diri namanya.”

          “Aku tahu, tapi aku memang tak boleh tahan. Aku tak dapat terima kenyataan yang aku dan dia dah putus. Setiap hari aku berdoa agar perasaanku padanya hilang sama sekali. Kalau tidak pun, Ingatanku tentangnya dihapuskan. Biar aku mengenali dia sebagai orang baru tanpa apa-apa perasaan sakit lagi dalam hatiku. Kalau kau boleh gambarkan bagaimana hatiku ketika itu, Aily… Memang sakit yang teramat! (Aku melihat air mata mula membasahi pipi. Suaranya turut berubah.)

 

          “Jadi, bagaimana pula dia boleh kata kau berubah?”

          “Aku jarang bertemunya lagi selepas itu. Tapi setiapkali kami berjumpa, Aku rasa ingin selalu berada disisinya. Duduk didepannya semata-mata ingin melihatnya. Ingin selalu berkepitlah. Tak ingin berjauhan. Entah kenapa segalanya tentang dia, aku ingin mengambil berat. Kalau dia ada, barulah seleraku terbuka untuk makan. Kalau tidak, tiadalah. Hari-hari aku rindukan dia, ingatkan dia..”

          “Seperti kau jatuh cinta padanya semula?”

          “Ya, Aily. Perasaanku seperti masa mula-mula dilamun cinta. Aku tak tahu kenapa. Aku cuba membencinya dengan mengingatkan apa-apa yang pahit tentang dia. Aku selalu meminta padaNya agar aku dapat melupakan dia. Di hilangkan ingatan agar aku dapat memulakan hidup baru tanpa perasaanku padanya lagi. Tanpa perasaan sedih terluka ini lagi. Tapi apa yang aku rasa sekarang ni, semakin kuat perasaanku padanya. Semakin kuat keinginanku untuk bersamanya.”

          “Bagaimana kau nak bencikan dia, sedangkan dia masih sayangkan kau.. Dalam hatinya masih tidak mahu melepaskan kau sepenuhnya..”

          “Habis, takkan aku nak macam ni… Bila dah berjauhan, barulah aku sedar betapa aku terlalu sayangkan dia. Aku tidak boleh berjauhan dengannya.” (Tidak putus-putus dia mengesat air matanya yang mengalir deras. “

          “Bersabarlah.. Di sebalik semua ini, pasti ada hikmahNya. Mungkin kamu berdua masih ada jodoh. Sebab itulah dia masih tidak dapat melepaskan kau sepenuhnya,”

          “Mustahil lah, Aily.. Dia dah ada orang lain. Tak mungkin dia nak melepaskan orang tu.. Aku pun tak pasti sama ada dia benar-benar masih sayangkan aku ataupun sekadar ingin menjaga hatiku saja. Itu kata-katanya saja. Bukan sekali dua dia menipu aku. Aku tahu semua itu, tapi entahlah…”

 

          “Itu… aku tak dapat cakap lah. Dia lebih mengetahui apa yang berlaku selepas ini. Tapi apa yang aku rasa, mungkin Dia memberikan peluang ini untuk kau membetulkan kesilapan lalu. Peluang untuk kau dan dia sama-sama memperbaiki hubungan. Andai kata Dia mengabulkan doamu dengan menghilangkan ingatanmu terhadap dia atau kau terus melupakan dia, kau rasa dia boleh terima ke keadaanmu? Tentu dia pun rasa terluka kerana orang yang masih disayangi, tiba-tiba tiada perasaan padanya. Seumpama kau hanya mimpi bagi dia, sedangkan hakikatnya kau dan dia mempunyai banyak kenangan bersama.”

          “Aku tak tahulah, Aily. Mungkin aku yang dikenalinya sekarang ni pun dah menjadi orang baru. Kalau tak, tentu dia takkan cakap aku dah berubah.”

          “Kalau berubah kepada sesuatu yang baik, tak ada masalah. Mungkin dia pun serba salah sekarang ini. Siapalah tahu kan. Cuma itu sajalah. Dia memberikan peluang kedua ini, jadi kau gunalah dengan baiknya. Sama ada hatinya terbuka kembali pada kau atau tidak, terpulanglah pada Dia. Kalau bukan untuk dia, mungkin kau boleh jadikan pengajaran sekiranya kau bertemu dengan yang lain.”

          “Tapi aku terlalu sayangkan dia, Aily.. Sekadar membayangkan untuk kehilangan dia pun sudah cukup membuatkan hatiku terluka sangat..”

          “Jujurnya kau masih mengharapkan dia kembali pada kau, bukan?”

          “Aku tak boleh tipu diri aku, Aily. Aku sentiasa inginkan dia kembali walaupun dia telah banyak melukakan hatiku. Tapi aku tak boleh mengharap juga. Walaupun mungkin dia kata sayang pada aku, tapi sayang bagaimana pun aku tak tahu. Mungkin dia sayang tapi belum tentu ada tempat lagi di hatinya kalau dia dah ada orang lain. Aku cuma mampu berdoa supaya masih ada ruang untukku di hatinya.”

 

          Aku tidak berkata apa-apa lagi, sebab aku sendiri pun tidak tahu bagaimana untuk memujuk hatinya. Tangisannya memang menyentuh hatiku. Sayu hatiku membuatkan aku hampir-hampir turut menangis. Dalam hatiku mengatakan dia cukup bertuah kerana Tuhan memberinya peluang kedua untuk membetulkan kesilapan pada orang yang sama. Tanpa dia sedar, dia telah berubah untuk menghargai setiap detik yang dia ada untuk bersama dengan orang yang dikasihi walaupun dia tahu kemungkinan untuk dia menawan hatinya semula cuma 50-50.. Itu dia yang telah diberikan peluang, tapi bagaimana agaknya pada mereka yang Tuhan tentukan takkan ada peluang untuk mendapat kembali apa yang telah dimiliki? Ataupun peluang telah diberikan, tetapi tidak mahu mengambil kesempatan itu untuk memperbetulkan keadaan. Atau mungkinkah peluang itu langsung tiada kerana ditakdirkan seseorang itu telah pergi selama-lamanya? Tidak kiralah pada siapapun…

 

          Adakalanya peluang itu datang sekali. Adakalanya juga peluang itu datang berkali-kali. Belum tentu apa yang dimiliki akan kekal jika tanpa usaha untuk mengekalkan. Sekadar menghargai kehadiran namun jika tidak tahu menjaganya, juga tidak memadai.

Untuk diriku.. Semoga peluang sentiasa ada padaku andainya aku telah tersalah langkah.. Smile

Read More...

Monday, July 25, 2011

 Secebis Kasih Dalam Kenangan…

 

image040

 

 

“…sayangku… tahukah kau di dalam hatiku ini

tersimpan perasaan cinta yang suci

kau bunga.. inginku suntingmu menjadi milikku

lantas ku abadikan dalam jiwaku…

sayangnya harapan yang selama ini ku bawa

hancur berkecai musnah jua akhirnya

semuanya bagaikan sebuah mimpi…”

 

          Aku mengenali Haiza dalam satu kursus jangka pendek yang dianjurkan oleh jabatanku. Sebelum ini aku selalu mendengar cerita-cerita tentang dirinya dari jabatan lain. Rakan-rakanku selalu memuji akan dirinya membuatkan aku benar-benar ingin bertemu dengannya. Aku ingin mengenalinya dan menilai sendiri kebenaran yang disebarkan oleh rakan-rakanku.

 

          Takdir menentukan aku bertemu juga dengan Haiza. Pada ketika itu aku telah mempunyai kekasih, tetapi hubungan kami di ambang retak menanti belah walaupun aku telah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya. Haiza memang tahu perkara itu tetapi tidak pernah sesekali untuk mengeruhkan keadaan. Sebaliknya dia terus memberi sokongan agar aku memperbaiki hubungan.


          Dalam diam aku mula menyukai Haiza. Sepanjang kursus itu, aku cuba untuk menarik perhatiannya. Namun aku gagal kerana Haiza juga sudah mempunyai kekasih hati. Tapi aku tidak peduli. Semasa ujian praktikal, aku berpeluang untuk duduk di sebelahnya. Peluang inilah ku gunakan sebaik mungkin untuk menatap wajahnya yang ayu. Seindah wajah secantik bahasa. Ah! Aku benar-benar jatuh cinta padanya…  Aku pasti sesiapa yang dapat memiliki hatinya adalah orang yang cukup bertuah.


          Aku benar-benar tidak dapat melepaskan kepergiannya di akhir kursus. Aku takut tidak dapat berjumpa dengannya lagi, tetapi Haiza berjanji akan terus menghubungiku sebagai kawan. Aku tak boleh menganggap begitu, tetapi aku akur. Mungkinkah dari kawan akan beralih kepada percintaan..?


          Setahun berlalu, aku dan kekasihku sudah membawa haluan masing-masing. Sepanjang tempoh itu juga, Haiza menunaikan janjinya sebagai kawan. Setiap kali Haiza datang ke daerahku, kami berjumpa dan akhirnya aku meluahkan perasaan yang ku pendam. Tetapi Haiza menolakku kerana dia sudah bertunang. Oh! Aku kecewa, tetapi aku takkan berputus asa. Aku akan tetap mencuba untuk menawan hatinya…


          Tidak lama Haiza berpindah kerja ke daerahku. Aku semakin kerap bertemu dan menghubunginya. Cintaku padanya semakin mendalam. Aku tahu kesungguhanku telah membuatkan hatinya tersentuh kerana dia pernah berkata… “ andainya aku bertemumu sebelum dia, mungkin aku telah jatuh cinta padamu. Tetapi aku tidak boleh menduakan kasihku padanya. Dia cintaku yang kekal…”. Mendengarkan itu, aku kecewa lagi tetapi aku akur. Demi cintaku padanya, aku pasrah untuk menjadi kawan baiknya.


          Hari-hari terus berlalu, aku tidak dapat membohongi diriku lagi. Aku merayu padanya agar menerimaku juga walaupun diibaratkan ‘kekasih gelap’. Aku tahu aku salah kerana mengambil kesempatan di atas masalah yang dihadapi bersama tunangnya, tetapi aku benar-benar tidak mampu untuk menangung kasihku padanya. Aku terlalu menyintai dirinya.


          Namun takdir tidak menyebelahi aku. Tunangnya tahu akan kehadiranku. Haiza dipukul tetapi tidak mahu melepaskan. Aku tidak tahu berapa lama perkara ini berlarutan kerana Haiza tidak menceritakan padaku. Kerana cintaku, Haiza tersepit antara kawan dan tunang. Akhirnya Haiza terpaksa melepaskan aku kerana kasihnya pada tunang walaupun dia dilukai. Sekali lagi aku kecewa. Demi untuk melihat Haiza bahagia, aku membawa cintaku berkelana. Kerana aku terlalu menyayanginya, aku tidak sanggup dia menangis lagi.


          Beberapa tahun telah berlalu, namun cintaku masih tidak berubah. Aku cuba untuk menerima orang lain, tetapi semuanya tidak kesampaian. Bagiku Haiza adalah cinta sejatiku. Mungkin aku telah menutup pintu hatiku selain Haiza, tetapi aku tidak menemui seseorang yang setanding dengannya. Cintaku padanya kan ku bawa hingga ke mati. Adakalanya aku menghubunginya sekadar bertanya khabar. Dia telah berkahwin tidak lama selepas kejadian itu. Mungkin dia kini bahagia bersama insan kesayangannya. Aku cuma dapat berdoa agar suaminya akan menjaga Haiza sebaiknya kerana dia insan kesayanganku.


          Namun kebahagiaan Haiza tidak berkekalan lama. Suaminya melepaskan Haiza kerana orang lain. Aku benar-benar terkejut. Tergamak suaminya meninggalkan Haiza yang cukup baik padanya. Di mataku Haiza mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang wanita. Apa lagi yang kurang pada Haiza, aku sendiri tidak faham. Kerana Haiza masih menganggapku sebagai kawan baik, dia menghubungiku bukan kerana ingin merayu cintaku, tetapi kerana dia terlalu terluka dan memerlukan sokongan untuk bangkit semula. Aku benar-benar sedih, tetapi aku rasa bersyukur kerana mungkin inilah peluang yang diberikan padaku untuk mendapatkan kembali cintanya padaku.Tetapi ia tidak semudah itu untuk Haiza menerimaku. Dia masih mengharapkan kasih suaminya untuk kembali. Aku tidak bersetuju, tetapi aku akur kerana itu hatinya. Aku cuma berharap dia akan kembali seperti dirinya yang ku kenal sebelum ini.


          Saban hari aku menghubungi dengan harapan dia dapat merasai keikhlasan cintaku padanya. Aku mula merasakan senyuman dalam setiap perbualanku, tetapi dia masih menganggapku sebagai kawan. Aku tidak pernah berputus asa kerana aku benar-benar ingin membahagiakan dia dengan kasih sayangku.


          Pada suatu hari, entah kenapa tiba-tiba hatiku resah sangat untuk menghubunginya. Namun bukan Haiza yang menyambut panggilanku, tetapi rakan sejawatnya. Tika itu, jantungku luluh bila mendengar Haiza telah dimasukkan ke hospital kerana terjatuh di pejabat. Dia pengsan. Barulah aku sedar bahawa selama dia ditinggalkan suami, hidupnya tidak seceria dulu. Aku silap kerana menganggap senyum tawanya ketika bersamaku menggambarkan kelukaan hatinya telah pulih. Rupanya itu cuma lakonan kerana tidak mahu aku bersedih, sedangkan pada ketika itu aku mula menyakini bahawa Haiza akan menerima cintaku semula.


          Aku bergegas ke hospital dan betapa luluhnya hatiku bila melihat keadaannya. Wajah ayunya cengkung, tubuhnya susut… dan akhirnya air mata lelakiku jatuh juga di situ. Aku tidak sanggup melihat penderitaannya. Aku betul-betul menangis bila mengetahui cinta hatiku akan pergi meninggalkan aku untuk selama-lamanya. Bertambah tangisanku melihat dia masih tersenyum bila memandangku dan meluahkan perasaannya…

 

“ …Maafkan aku kerana tidak dapat menerima cintamu walaupun aku tahu betapa dalamnya kau menyintaiku selama ini. Kau memang lelaki yang baik, tetapi aku tidak melupakan suamiku walaupun dia telah melukakan hatiku sebegini. Kasihku padanya terlalu mendalam dan biarlah sehingga akhir hayatku. Maafkan aku kerana telah banyak melukakan hatimu. Percayalah… Aku sayangkan kau kerana kau sahabat sejatiku. Aku harap kau akan menemui seseorang yang dapat membahagiakan dirimu…”


          Aku menangis semahunya kerana itulah kata-kata terakhir yang ku dengar. Aku tidak peduli lagi dengan orang sekelilingku bila aku memeluknya erat untuk kali terakhir. Itulah kali pertama aku menyentuhnya. Aku bagaikan tidak percaya bahawa sehingga akhir hayatnya pun aku masih tidak dapat memiliki kasihnya. Harapanku untuk hidup bersamanya telah berkecai. Aku benar-benar terkilan. Dalam hatiku menyalahkan suaminya kerana menjadi penyebab cinta hatiku pergi dalam kesedihan. Aku takkan memaafkan suaminya kerana telah mensia-siakan Haiza, dan itulah yang ku lakukan apabila dapat menghubungi suaminya itu. Selama ini aku percaya suaminya akan membahagiakan Haiza bila Haiza tetap memilihnya, tetapi apa yang berlaku Haiza telah dikecewakan. Hatiku benar-benar terluka.


          Kini hampir 20 tahun berlalu sejak Haiza meninggalkan aku. Aku masih tidak dapat melupakan dia. Apatah lagi untuk mencari penggantinya. Cintaku biarlah ku bawa hingga ke mati. Walaupun hanya seketika, tetapi bagiku dialah insan teristimewa yang pernah hadir dalam hidupku. Haiza telah membahagiakan aku dengan kasih sayangnya sebagai kawan. Apa yang ku dengar, suaminya juga tidak bahagia selepas pemergian Haiza. Mungkin inilah balasan di atas apa yang telah dilakukan pada Haiza. Kebahagiaan yang dibina di atas penderitaan orang lain takkan berkekalan lama. Aku pasti akan itu.


          Walaupun begitu, aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana sekurang-kurangnya aku dapat juga merasai secebis kasih Haiza yang terus menyinari hatiku sehingga kini. Aku tidak pernah melupakan segala kenangan bersamanya. Semoga roh cinta hatiku ini akan tenang dan sentiasa mendapat rahmat di sisi penciptaNya… Amin!


“… Belum tentu apa yang dikejar akan menjanjikan kebahagiaan. Belum tentu juga apa yang kita tinggalkan akan menambah kebahagiaan. Mungkin dia bukanlah yang terbaik, tetapi belum tentu juga apa yang kita cari lebih baik dari itu. Apa yang penting, sayangilah dan hargailah mereka yang telah banyak berkorban dan menyayangi kita sepenuh hati sebelum terlewat…”

Read More...

Saturday, July 2, 2011

 Diaries ~ A Loves Monologue II

 

 

animi2

    

 

 

 

 

Dear Diaries,

I know we’ve been together for a long time

for a long years had past

our memories and our life history

will U realized it..

how can I forget U while U were half of my life?

 

Dear Diaries,

I know U’re far away from me

I do realized that I can’t always stay beside U

But we’d promised to understand

even though we’re apart

our heart still close together

always one in our dreams and pray

always hope to be together till the end

 

Dear Diaries,

But it was before..

before U know that times can change our life

U always hope that I’ll never leave U

Yes! I do promise U that I’ll never leave U

always stay wherever U needed

always keeping U in my heart

anything will do for Ur happiness…

 

Dear Diaries,

All of this because I always loves U

to seeing U smile

but today…

do I still loves U, my friend?

after for what U’ve done to me

or do I still become someone precious in Ur heart?

when U’re in a wonderful way…

 

Dear Diaries,

Maybe I’ve change

when I can’t stay as I used to do

maybe I also have changed

when I can stand alone without U

I know..

U used to become my courage, my support..

but its all just memories now

 

Dear Diaries,

Forgive me if I was changed

I still love and remember about U

I always hope that I used to know U as before

but..

I’m aggrieve because of U

I could not afford to hurt myself again

I’m sorry..

if I had to hurt Ur heart

 

Dear Diaries,

Maybe that’s enough for me to hurt myself

to feeling frustrated all the time

I never ask how’s Ur feeling to me

but still keep in Ur heart and mind

I’ll always love U like I promise U before

and I’ll never forget U as U’re part of my life

 

Forgive me for hurting Ur heart…

Read More...

Friday, June 10, 2011

 Memori Selamanya ~ Episode 14 Part II

 

image040

 

 

 

 

          Azura masih berdiri di luar bilik sambil meletakkan kedua tangan di atas koridor. Sesekali dia melilau di sekelilingnya. Memerhatikan pelajar lain yang sibuk dengan rencana petang masing-masing. Keadaan aspuri tidak begitu bising. Agak tenteram untuk melelapkan mata setelah menghabiskan masa pagi dengan menghadap papan hitam.

 

          Tidak lama, dia mengalihkan pandangan terus ke tingkat dua. Sebuah bilik menjadi tatapannya. Pintu bilik itu masih tertutup rapat. Tiada penghuni. Azura meletakkan dagu di atas koridor dengan di alasi oleh tangannya. Hmm... Kenapa kak Nadirah belum balik lagi ni...? Kelmarin dia kata nak jumpa. Dia pergi library ke? Dia ada hal ke? Atau dia dah lupa? Tapi, kak Nadirah bukan pelupa... Desisnya sendiri. Tertanya-tanya. Mula resah.

 

* * * * *

 

          Azura meletakkan siku di atas meja, lalu menyangga dagunya. Keresahan masih menyelubungi hatinya. Sesekali dia mendengus, mengeluh tanpa sebab. Kenapa kak Nadirah tak muncul-muncul ni...? Tanyanya lagi dalam hati. Bimbang. Tidak lama dia bangun lalu berdiri di tepi tingkap. Memandang ke luar. Namun kembali ke meja. Duduk. Kemudian bangun semula. Langkahnya tidak menentu.

          Ariza meletakkan pen di atas meja, kemudian mengalihkan pandangan ke arah Azura. Pening melihat Azura tidak keruan. Sekejap duduk sekejap bangun. Kemudian bermundar mandir di belakangnya. Menbuatkan otaknya turut berpusing-pusing. Dia mengusap dahi.

 

          “Kenapa ni, Zura? Asyik bermundar-mandir dari tadi. Pening aku tengok. Kau ada masalah ke?”

Azura berhenti lalu memandang Ariza. Seketika hatinya menjadi gusar sama ada hendak memberitahu atau tidak.

          “Aku risaulah. Dah 3 hari aku tak jumpa dia. Tak tahu dia pergi mana.”

          “Kau maksudkan siapa? Kak Nadirah?”

Azura mengangguk. Mengiyakan.

          “Mungkin dia ada masalah. Kenapa kau tak pergi biliknya?”

Azura kembali duduk. Menghadap Ariza.

          “Aku seganlah, Riz. Eh! Kak Niza tak ada cakap apa-apa pada kau ke?”

          “Tak ada.”

          “Aish! Ke mana pula dia ni...” keluhnya lalu bangun. Dia menuju ke tingkap. Memandang ke luar lagi.

          “Kau pergilah tanya. Kalau kau segan, kau takkan tahu apa-apa.” Ujarnya lalu menatap buku semula. Meneruskan pembacaan yang terhenti.

Azura memegang dahinya. Memikirkan semula kata-kata Ariza. Hmm...

 

* * * * *

 

          “Apa?! Kak Nadirah dah pindah sekolah?!!” Jeritnya bagai tidak percaya dengan apa yang didengari. Dadanya mula berombak kencang. Terkejut.

          “Tapi kenapa, kak Niza? Kenapa tak beritahu saya?” Sambung lagi. Dia terduduk. Raut wajahnya berubah serta merta.

          “Zura, sabar dulu. Dengar penjelasan kakak.”

          “Kenapa tiba-tiba kak Nadirah pindah sekolah? Kenapa, kak? Hari tu dia kata nak jumpa saya, tapi dia tak datang pula. Tiba-tiba hari ni kakak kata dia dah pindah sekolah. Saya terkejut, kak!”

Rosniza menarik nafas panjang. Gadis di depannya benar-benar membuatkan dia bungkam. Bimbang. Terkenang kembali, Nadirah banyak meninggalkan pesanan buatnya. Jangan beritahu Azura pasal Farina tau... Ish!Ish! Nadirah ni pun satu!

          “Nadirah memang nak jumpa Zura, tapi...”

          “Tapi kenapa, kak?” Celahnya tidak sabar. Nafasnya turun naik.

Fariza mendengus perlahan.

          “Zura, bersabarlah. Kami tak menyangka Nadirah boleh kemalangan. Dahinya luka.” Jelasnya lambat-lambat.

          “Kemalangan? Kemalangan apa pula ni, kak?”

Rosniza tercengang. Aish! Terlepas cakap lah pulak... Tiba-tiba dia serba salah.

          “Eh! Tak adalah teruk sangat. Zura jangan risaulah. Dia tergelincir. Luka kecil jer...”

          “Tergelincir? Tentu ada orang yang tolak dia...” Getusnya tiba-tiba dan berpaling sedikit.

          “Zura, keluarga Nadirah tahu. Tapi kami tak sangka pula Nadirah akan pindah sebaik saja keluar dari hospital. Pagi-pagi tadi baru kami tau.”

Azura terdiam. Wajahnya menjadi murung. Sugul. Raut wajahnya menampakkan dia sedang merajuk.

          “Jahatnya, kak Nadirah... Pindah pun tak beritahu. Jumpa pun tidak. Pergi macam tu saja.” Rajuknya kian ketara. Sedih hati.

          “Zura, janganlah marah. Nadirah memang nak jumpa Zura sebelum dia jalan, tapi... ayahnya tak benarkan. Nak cepat. Nadirah terpaksa akur. Padahal dia teringin sangat nak jumpa Zura.” Pujuknya lembut lalu memegang bahu Dilla.

          “Ehm... Mesti ayah kak Nadirah garang!”

Rosniza menggelengkan kepala. Membiarkan Azura terus mengomel sendiri. Niza, aku terpaksa akur kata ayahku. Dia begitu marah bila dapat tahu aku cedera kerana orang lain. Kalau boleh aku tak nak dia tahu, tapi... entahlah. Ayahku berkeras nak pindahkan aku sedangkan aku tak mahu. Aku tak sempat nak jumpa Zura. Tentu dia marahkan aku. Aku tak boleh berbuat apa-apa. Tapi aku harap dapat jumpa dia waktu exam nanti. Kata-kata Nadirah masih ternging-ngiang di telinga. Hmm... Kau takkan tenang, Farina! Bentak hatinya.

Read More...

Monday, June 6, 2011

 Memori Selamanya ~ Episode 14 part 1 ~

 

 

 

image040

         

 

 

          “Dirah, kau dah siap ke?” Tanya Ardilla sebaik saja selesai mengemas buku-buku ke dalam begnya. Dia bingkas lalu menghampiri Nadirah yang masih terkial-kial mengemas alat tulisnya yang berselerak di atas meja. Rosniza berdiri di hadapan papan hitam sambil mencoret sesuatu pada permukaan papan. Menanti. Namun tidak lama, dia membersihkan semula apa yang ditulis. Saja-saja bermain kapur. Bosan. Sesekali dia terbatuk. Debu-debu berterbangan. Rakan sekelas lain sudah lama pulang. Hanya mereka bertiga yang masih setia di dalam kelas.

          “Sekejap lagi. Sabarlah.”

          “Kau ni bermain ke apa? Bersepahnya meja kau, Dirah... Macam budak tadika!“ Usik Ardilla sambil menolong mengemaskan beg Nadirah. Nadirah geram. “ Kalau kau nak tolong, tolong aja lah, Dilla..” ujarnya sambil mencubit pipi Ardilla.

          “Adei!!! Ketam betul la kau ni...!“ jeritnya. Rosniza segera menoleh. Terkejut.

          “Tak habis-habis korang berdua ni...” Dia ketawa kecil. “Eh! Nanti kita singgah kantin ya.” Ajak Rosniza sambil menggosok-gosok tangan, menghilangkan kesan habuk kapur lalu menghampiri kedua rakannya. Ardilla dan Nadirah mengangguk serentak.

          “Okaylah, dah selesai. Jom kita pulang.” Ujar Nadirah lalu menggalas beg pada bahu kanannya. Dia menolak kerusi masuk ke bawah meja, kemudian merapati Rosniza.

          “Kau nak beli apa, Niza? Kalau lapar, kita pergi ke dewan saja.”

          “Aku bukan lapar. Aku cuma nak beli minuman tin. Tiba-tiba pula rasa teringin nak minum.” Jelasnya lalu memulakan langkah keluar dari kelas. Nadirah dan Ardilla menurut di belakang. Masing-masing berjalan beriringan.

          “Cheh! Kau ni suka sangat minuman bergas. Tak baik diamalkan tau!”

          “Ala... sekali sekala, Dilla. Bukan selalu pun. Bila rasa teringin jer..”

          “Ehm... elok juga kalau kita singgah di kantin. Bolehlah aku beli makanan ringan untuk Zura.”

          “Hah! Ni lagi satu. Mentang-mentanglah nak dating petang ni. Kau rindu ya...”

Nadirah ketawa kecil.

          “Dating? Haha! Kau ni, ada-ada sajalah. Itu cuma pertemuan biasa lah, Dilla. Zura kan adik. Sudah pastilah aku ambil berat pasal dia.” Ujarnya sambil tersenyum.

          “Ehm? Kau nak jumpa Zura ke? Kalau begitu, aku ikut sekali lah. Nak jumpa Riz. Dah lama tak jumpa dia. Entah bagaimana dia sekarang. Kalau nak harapkan dia datang, dalam mimpi sajalah!” Rengusnya tidak puas hati. Nadirah tersengih.

          “Kau tu suka sangat berleter dengan dia. Sebab tu dia malas nak jumpa kau. Cuba kau jadi seperti aku.. kakak yang penyayang. Confirm hari-hari dia datang jumpa kau” Ucapnya penuh perasaan sambil meletak tangannya ke dada. Rosniza terus menerkup muka. Tidak sanggup memandang.

          “Oh! Please lah, Dirah. Geli-geleman aku mendengar. Kalau kau nak tahu, aku dah cukup penyayang tau!” Ajuknya lalu menghalakan telunjuknya ke pipi Nadirah. Nadirah ketawa kecil sambil memaut bahu Rosniza. Masing-masing ketawa. Ardilla terus menggeleng kepala.

          “Hmm... yelah tu. Masing-masing ada date. Aku saja yang tak ada date. Korang ni... Eii..! Cemburunya aku... Kalau macam ni, aku pun nak ada adik jugalah!”

Rosniza dan Nadirah terus ketawa. Bahu Ardilla ditolak sedikit menyebabkan tubuh Ardilla tersorong ke depan. Ardilla terus mengomel.

 

          “Nanti dulu!”

Tiba-tiba langkah kaki terhenti. Suasana juga menjadi sepi. Seketika mereka terpempan bila Farina masih tercegat berhampiran anak tangga sambil bersandar pada dinding. Berpeluk tubuh. Renungannya tajam.

          “Wah! Seronoknya korang... Aku berdiri di sini pun korang buat-buat tak nampak!”

Masing-masing masih membatu. Hanya saling berpandangan. Terkejut.

          “Nadirah, kau memang tak reti bahasa!”

Nadirah tergamam. Begitu juga dengan Rosniza dan Ardilla. Masing-masing bungkam.

          “Eh! Farina, kenapa kau tiba-tiba naik angin ni?” Sergah Ardilla tiba-tiba. Farina mengerling.

          “Kau jangan nak menyibuklah, Dilla. Ini urusan aku dengan Nadirah!”

Ardilla bengang. Raut wajahnya berubah. Dia menghampiri, namun Rosniza segera menarik tangan Ardilla. Ardilla terus berpaling. Wajahnya berkerut. Geram. Rosniza menggelengkan kepala.

          “Farina, kau tak patut buat begini.”

          “Kau diamlah, Niza. Aku tak bercakap dengan kau!” Rengusnya kuat sambil menjegilkan mata. Rosniza terdiam. Nadirah merapatinya, lalu memegang jemari Rosniza. Cuba menenangkan.

          “Kau nak apa? Apa lagi yang kau tak puas hati ni?”

Farina maju selangkah ke depan. Nadirah berundur. Bimbang.

          “Kau memang degil, Nadirah. Sudah berapa kali aku pesan pada kau. Jangan ganggu hak aku!”

          “Hak engkau? Jaga bahasa kau sikit, Farina! Bila masa aku ganggu hak kau? Siapa hak engkau? Sesiapapun yang rapat dengan aku, aku terima. Kenapa pula kau nak marah aku? Sepatutnya kau yang berpesan pada mereka, bukan aku!”

          “Hei! Cakap baik-baik sikit ya. Kalau tak, nahas kau nanti!”

Nadirah mendengus perlahan. Perasaannya tidak tenteram.

          “Sabar saja aku dengan perangai kau ni. Tak habis-habis nak cemburu. Suka sangat nak mengugut orang. Nak tunjuk kuat!”

          “Kalau aku memang kuat, nak buat macam mana? Hah! Kau nak lawan? Marilah. Lawan aku!” Cabarnya sambil menolak-nolak bahu Nadirah. Tubuh Nadirah bergoyang sedikit. Nadirah merenung tajam. Masih mendiamkan diri.

 

          “Marilah lawan! Kenapa? Takut ke?”

Semakin kuat tolakan Farina membuatkan Nadirah terus berundur. Cuba mengelakkan diri. Namun Farina terus merapatinya. Tolakannya begitu kuat dan kasar.

Ardilla menggenggam erat jemarinya. Tidak sabar. Dia terus menghampiri Farina lalu merentap lengannya. Geram.

          “Eh! Kau buat apa ni, Farina? Kau jangan nak buat hal, okay! Kau nak ugut Dirah lagi ke?”

Farina segera menepis pegangan Ardilla. Berang. Tapi Ardilla tidak mahu mengalah. Malah semakin menguatkan pegangannya. Farina menggertap bibir. Marah.

          “Ketepilah kau, Dilla! Jangan nak menyibuk!”

          “Hei! Kau ingat aku nak berdiam diri ke?” Gertaknya membuatkan Farina dan Ardilla saling bertolakan. Masing-masing tidak mahu mengalah. Ardilla enggan melepaskan pegangannya biarpun Farina menolaknya kuat.

          “Kau memang nak kena, Dilla! Aku belasah kau nanti!”

          “Oh! Nak mengugut ya? Cubalah kalau berani! Kalau setakat badan besar kau ni, aku tak takutlah!”

Rosniza gusar. Dia menghampiri dan berdiri di antara Ardilla dan Farina. Cuba meleraikan.

          “Sudahlah tu, Farina. Jangan ganggu Dirah lagi.”

          “Penyibuk!!! Ini hal akulah! Yang kamu nak menyibuk, buat apa?!!” Jerkahnya marah terus cuba meleraikan pegangan Ardilla. Ingin menghampiri Nadirah. Matanya terus memandang Nadirah. Benci!

          “Kalau kau nak selamat, lebih baik kau blah, Farina! Kalau tak, aku lapor pada cikgu!” Gertaknya lagi terus menarik lengan Farina agar tidak mendekati Nadirah. Farina tidak mempedulikan. Tingkahlaku Rosniza dan Ardilla membuatkan kemarahannya membara. Dia terus menggerutu.

Nadirah serba salah. Bimbang. Niat Rosniza untuk meleraikan ternyata tidak berjaya. Sebaliknya membuatkan dia tersepit di antara Ardilla dan Farina. Dia menghampiri lalu memegang tangan kedua rakannya.

 

          “Jangan dekat, Dirah. Nanti dia cederakan kau!” Tingkah Rosniza penuh kebimbangan.

          “Niza, Dilla, sudahlah tu. Jangan bergaduh di sini. Nanti cikgu nampak.”

          “Dia dah melampau, Dirah. Takkan aku nak biarkan saja!” Tegasnya mempertahankan. Nadirah bungkam. Farina terus meronta-ronta. Berusaha melepaskan diri dari halangan Ardilla dan Rosniza. Hatinya kian mendidih bila memandang Nadirah di depan mata. Menambahkan kebenciannya.

          “Semua ini pasal kaulah, Nadirah! Kalau kau tak banyak peminat, taklah jadi begini! Ini tidak! Orang yang aku suka pun minatkan kau! Apalah sangat kau tu?! Aku bencikan kau, tau tak!” Tempiknya terus menolak Ardilla dan Rosniza sekuat hati sehingga pegangan itu terlerai. Tubuh Ardilla tersorong ke belakang. Begitu juga dengan Rosniza. Tolakan yang kuat menyebabkan belakangnya terasa perit bila terlanggar dinding kelas. Wajahnya berkerut menahan sakit.

Farina mendengus kuat. Terus merapati Nadirah. Nadirah terpaku.

          “Semua ni pasal kau, Nadirah!!!” Jeritnya terus menolak kuat tubuh Nadirah. Tidak dapat mengawal diri lagi. Ardilla dan Rosniza tersentak. Nadirah menyongsong ke belakang. Dia cuba berpaut pada birai tingkap kelas. Namun kepalanya terlebih dahulu mengena pada bucu cermin dan akhirnya tersungkur.

Farina tergamam. Tidak menduga. Dia berundur sedikit. Terpaku.

          “Dirah!!!” Jerit Ardilla terus menghampiri. Dia mengangkat sedikit tubuh Nadirah. Rosniza turut menghampiri. Sekilas dia menjeling ke arah Farina. Perasaannya berbaur.

          “Kau tak apa-apa? Eh! Dahi kau luka!”

Rosniza masih merenung Farina.

          “Kau memang dah melampau, Farina! Jangan harap kau akan terus menang. Kau pasti akan kalah di tangan orang lain. Kau pasti menerima akibatnya kelak!!!” Bentaknya keras seakan menjatuhkan hukuman yang berpanjangan. Farina terus terpaku.

Nadirah tidak terkata. Dia berusaha untuk duduk. Kemudian meraba dahinya. Jemarinya kini dibasahi oleh cecair pekat yang deras mengalir. Kepalanya berdenyut-denyut. Pandangan mula berpinar-pinar.

Read More...
Bookmark and Share

My Recent Blog's

When My Heart Say...