Azura melangkah keluar dari koperasi sekolah. Di tangannya terdapat beg plastik kecil yang mengandungi barang-barang keperluan. Dia terus maju menuju ke asrama. Sesekali dia menyelongkar beg plastik itu. Ingin memastikan segala yang diperlukan tiada yang kurang.
“Hai Zura! Kau dari mana ni?” Sapa satu suara dari belakang secara tiba-tiba. Azura agak tersentak. Langkahnya terhenti dan dia terus menoleh.
“Oh! Kau rupanya. Kebetulan pulak. Aku dari koperasi.”
Liza mengerling beg plastik yang dipegang Azura.
“Wah! Banyak juga barang yang kau beli. Boleh aku tengok?” Tanyanya lalu menarik beg plastik dari tangan Azura. Azura segera mengelak.
“Tak ada apa-apa juga. Barang keperluan jer. Jadi tak payahlah kau sibuk nak tengok. Kau nak ke mana ni?”
Liza mencebik bibir. Dia menjengkel.
“Saja jalan-jalan. Bosanlah di asrama. Eh! Zura, jom ikut aku. Nak tak?”
“Tak naklah, Liza. Aku nak balik cepat. Lain kali sajalah.”
“Ala... kalau di bilik pun, bukan kau ada kerja nak buat pun. Jom lah. Kejap je.” Pujuknya sambil menarik tangan Azura. Azura mendengus perlahan. Rimas dan tidak selesa.
“Ish! Aku tak nak la. Kau nak ke mana juga ni...?”
“Ala... Kita jalan-jalan saja. Tak kan itu pun tak boleh.”
“Kalau sekadar jalan-jalan, lebih baik aku balik bilik, Liza. Buat kerja sendiri. Tak pun aku tidur.” Tingkahnya lalu melepaskan pegangan Liza. Raut wajah Liza berubah. Masam.
“Kenapa? Kau dah mula rapat dengan budak sombong tu ke?”
Seketika Azura tercengang. Dia menarik nafas dalam. Kenapa Liza ni?
“Kau ni... kenapalah kau suka panggil dia budak sombong?”
“Sebab dia memang budak sombong! Tak reti nak senyum!” Cemuhnya lalu memuncungkan mulut.
Azura mengalihkan pandangan matanya lalu menggelengkan kepala berkali-kali. Tidak begitu senang hati. Hanya kerana Riz sukar melemparkan senyuman, maka Liza menggelarnya budak sombong? Kenapalah sejak awal aku kenal Liza, dia selalu mengatakan Riz sombong? Benar-benar sombong ke Riz tu...?
“Bukan aku seorang je yang cakap dia tu sombong. Pelajar lain pun cakap. Kalau kau nak tahu, pelajar lelaki di kelas kita tu pun cakap begitu. Diorang pun tak suka!” Sambungnya lagi. Terus mencebik. Azura hanya mendiamkan diri. Memekakkan telinga.
“Entah siapa nak berkawan dengan dia tu!”
“Sudahlah tu, Liza. Kau ni tak habis-habis nak mengata dia.” Celahnya mematikan cemuhan Liza.
“Ala... kalau memang dah betul, nak buat macam mana? Kau pun baru kenal dia. Jadi tak payahlah nak memenangkan dia! Bukannya dia tu nak eh!! Itu kak Farina...”
Azura tersentak lagi. Tercengang? Kak Farina? Siapa pula tu? Bisik hatinya tertanya-tanya. Wajah Liza ditatap tajam.
“Hah! Farina? Siapa tu?”
“Jom, kita jumpa dia!”
“Eh!!! Tapi...”
Azura terpinga-pinga. Tidak terkata bila tangannya ditarik. Hanya mengikut gerak kaki Liza. Dia memandang sekeliling. Mencari kelibat sesiapa yang dikenali. Namun tiada. Masing-masing wajah baru dirasa.
“Hai, kak Farina! Kebetulan pula terjumpa di sini. Kakak dari mana ni?” Sapanya tiba-tiba sebaik saja mematikan langkah. Dia senyum. Azura turut berhenti. Di hadapannya berdiri tiga orang gadis yang tidak dikenali, tetapi sama-sama berambut pendek. Pandangannya kosong. Entah yang mana satu bernama Farina.
“Eh! Liza. Akak baru balik dari dewan. Ada perjumpaan awal bagi K-Do. Minggu depan baru start latihan. Liza tak nak ikut ke?”
“Yelah, Liza. Jom lah ikut.” Ajak rakan di sebelahnya.
“K-Do? Ish! Tak nak lah, kak. Sakit!”
Farina ketawa terkekek-kekek. Begitu juga kedua rakannya. Azura sekadar memandang. Oh! Ini rupanya orang yang bernama Farina... Ish! Semacam je orang ni... Tak berkenan aku..
“Biasalah tu. Kalau nak jadi kuat, kenalah bertahan. Eh! Siapa pulak ni? Tak pernah nampak pun. Budak baru ke?” Tanyanya tiba-tiba sebaik saja terpandang Azura. Raut wajah itu ditatapnya. Ah! sekali pandang, seperti bangsa campuran. Cantik!
“Oh! Ini Azura. Budak baru di kelas saya. Ala... kan hari tu saya ada cerita dengan akak. Inilah orangnya. Cantik kan...” Jelasnya setelah diam seketika. Dia memandang Azura, juga memandangnya. Kemudian senyum sendiri. Tiba-tiba Azura menjadi gusar. Ish! Dia ni...
“Ehm... memang tak dapat dinafikan. Hai, Zura. Boleh berkenalan?” Ujarnya lalu menghulurkan tangan. Azura serba-salah.
“Eh! Salamlah, Zura. Ni lah kak Farina. Dia ni kuat tau. Kalau kau kena kacau, panggil saja kak Farina. Mesti orang tu kena belasah teruk. Betul tak, kak?” Gesanya lalu menarik tangan Azura agar menyambut salam tangan Farina. Azura terpaku. Hanya menurut.
“Betul tu. Untuk Zura, apa salahnya.” Angguknya sambil pandangan mata tidak lepas dari memandang raut wajah Azura. Azura tidak menjawab. Sekadar mengangguk. Senyumannya tawar. Menambahkan ketidakselesaan.
“Nanti bila ada masa, Liza datang ke bilik ya. Ajak Zura sekali. Boleh juga kenal rapat. Boleh tak, Zura?”
“Hmm... saya cuba, kak.” Jawabnya lemah. Namun dalam hati membentak. Ish! Tak ada masa aku!
“Hai, Farina.. Dalam renungan tu... Dah berkenan ke?” Tegur kawan sebelah Farina sambil tersengih. Farina tersipu-sipu.
“Eh! Tak adalah, Mastura. Cuma suka tengok jer. Cute!”
“Betul ke? Macam tak percaya saja...” ajuknya sambil menjeling Azura. Tidak lama, masing-masing ketawa. Liza turut ketawa. Berbisik sesama sendiri.
Azura bungkam. Bingung. Renungan tiap renungan hanya menambahkan kegusaran di hatinya. Ish! Semakin lama di sini, semakin tak selesa dibuatnya...! Beg plastik dipegang erat.
“Maaflah, kak. Saya nak balik dulu. Liza, kalau kau nak jalan, kau jalanlah sendiri. Aku nak balik.” Ujarnya terus berlalu menuju ke asrama. Kedengaran suara Liza bergema memanggil namanya, namun tidak dipedulikan. Sebaliknya terus mempercepatkan langkahnya. Hatinya memberontak. Geram berbaur marah. Bosan betul kalau berjumpa orang macam tu! Gerutu hatinya.
0 comments:
Post a Comment