Azura menggigit hujung batang pennya. Meneliti semula hasil kerja sekolah yang diberikan. Hmm... Sikit lagi nak siaplah ni. Desis hatinya lalu meneruskan gerakan jemarinya pada helaian buku yang terdedah. Lantas membiarkan masa yang berlalu pergi dengan satu senyuman yang terukir di bibir. Tanda puas hati.
“Zura, jom kita pergi bilik kak Farina!” Sergah Liza tiba-tiba muncul, mengejutkan Azura. Azura tersentak menyebabkan pen yang dipegangnya hampir terlepas. Dia geram. Segera menoleh memandang Liza yang berdiri di sebelahnya.
“Bila masa kau masuk bilik aku ni?!! Selalu macam ni. Tiba-tiba jer dah masuk bilik orang. Tiada salam, tiada ketuk... Buat orang terkejut saja! Kau ingat aku ni patung ke?” Tingkahnya tinggi.
“Hai, takkan marah pulak... Relakslah, Zura...” Balasnya sambil tersengih lalu duduk di sebelah Azura. Azura mendengus. Diam. Antara marah dan sakit hati. Mungkin juga kedua-duanya sekali!
“Sudahlah. Hah! Kenapa kau datang?”
“Aku nak ajak kau pergi bilik kak Farina.”
Azura menyandar tegak sambil menarik nafas panjang. Ish! Tak habis-habis dengan kak Farina!
“Aku malaslah nak jalan, Liza. Banyak kerja sekolah ni... Hah! Kau dah siap ke? Suka sangat nak bejalan! Lagipun, kan baru kelmarin kita jumpa dia. Takkan nak pergi lagi?”
Liza menarik kerusi, merapati dan memegang lengan Azura.
“Alaa... Kita pergi sajalah. Malam nanti pun boleh buat. Kau tak tahu ke kak Farina minatkan kau? Dia lagi suka kalau kau datang tau!”
Azura meletakkan sikunya di atas meja lalu memandang ke arah lain. Bengang. Ish! Kak Farina ni... Mabuk ke apa? Buat apa nak minat orang?
“Hish! Aku tak naklah, Liza. Aku banyak kerja ni. Lain kali sajalah.” Azura terus berdalih lalu meneruskan ayunan jemarinya. Tidak mempedulikan Liza. Bosanlah pergi bilik kak Farina! Asyik-asyik bercerita pasal kehebatannya melawan orang. Pasal orang takut dengan dia. Pasal orang tak berani nak berdepan dengan dia. Tiada cerita lain. Entah betul ke tak! Gerutunya dalam hati.
Liza mencebik bibir. Dia bingkas lalu memegang tangan Azura, melepaskan pen yang dipegang kemudian menarik tangannya. Memaksanya untuk bangun. Azura terpinga-pinga.
“Eh! Kenapa ni? Kan aku dah kata aku tak nak, aku tak nak lah!!! Kenapa tarik-tarik ni? Aku banyak kerja lah. Kau ni tak habis-habis nak memaksa orang!” Getusnya marah namun Liza tetap menarik tangannya. Tidak mempedulikan.
“Ikut sajalah, Zura. Kau ni...”
Azura menggertap bibir bila terpaksa melangkah kaki. Benci! Macamlah kita ni banduan nak ikut cakap dia! Bentaknya dalam hati.
“Eh! Lepaslah, Liza. Kau ingat aku tak boleh jalan sendiri ke?” Suaranya tinggi sebaik saja berdiri di muka pintu bilik. Dia menepis tangan Liza. Liza melepaskan.
“Aku takut kau larilah, Zura.”
“Ish! Kalau kau tak pergi sendiri, tak boleh ke? Tak habis-habis nak mengheret orang!!!” Bentaknya lalu maju ke depan, mendahului keluar dari bilik. Liza turut keluar. Berdiri di belakang Azura. Azura menutup pintu bilik sedang hatinya terus memberontak.
“Eh! Zura, kamu nak ke mana? Riz ada tak?” Sapa satu suara mengejutkannya. Suara yang biasa didengari. Azura menoleh kemudian senyum. Cuba mengawal api kemarahan dalam dirinya. Terasa hambar. Liza turut memandang.
“Kak Niza, Riz tiada. Eh! Kakak ni...?” Tiba-tiba dia tergamam seketika apabila terpandang seorang gadis di sebelah Rosniza. Terkejut. Sekilas senyumannya menjadi manis. Terlupa rasa marah yang menghantui perasaannya pada Liza.
“Zura? Nama kamu Zura? Oh! Tak sangka pula boleh jumpa kamu lagi. Kamu di bilik ni? Roomates adik Niza?” Ujarnya lalu ketawa kecil dan kemudian menutup mulut. Rosniza tercengang. Raut wajahnya berubah. Hairan. Dia memandang Nadirah.
“Kau kenal Zura, Dirah?”
“A’ah! Siapa sangka kami boleh terlanggar depan pagar aspuri tu. Tapi taklah sempat nak bertanya nama. Betul tak, Zura?” Ujarnya sambil memandang Azura. Begitu lembut tutur bahasa yang dilafazkan. Azura tersipu-sipu. Mengenang kembali, dia rasa malu di atas kelalaiannya.
Rosniza menggelengkan kepala.
“Patutlah. Zura, Riz ada kata tak dia pergi mana?”
Azura terdiam. Terpaku. Tiba-tiba dia rasa malu kerana jarang berbual dengan Ariza. Apalagi nak bertanya ke mana setiap kali Ariza keluar bilik.
“Saya tak tahu, kak.”
Rosniza menghela nafas dalam. Sedikit mengeluh.
“Tak mengapalah. Nanti kalau Riz dah balik, kirim salam padanya dan suruh dia datang bilik kakak. Ada hal. Kakak pergi dulu.” Ujarnya lalu beredar. Azura terkapa-kapa.
“Eh! Kak?” Panggilnya membuatkan kedua gadis itu terhenti dan saling menoleh.
“Kak, boleh kita jumpa lagi?” Tanyanya sambil mata terus melekat ke wajah gadis itu. Rosniza memandang rakan sebelahnya. Tidak lama dia tersengih. Dia berbisik perlahan ke telinga Nadirah. Nadirah mengangguk senyum. Faham.
“Tentu saja boleh, Zura. Panggil saya Nadirah. Saya sebilik dengan Niza, kakak Riz. Datanglah bila ada masa.” Ujarnya senyum lalu meneruskan langkah. Rosniza mengekori di belakang. Dari kejauhan, keduanya saling berbual mesra.
Azura terus memandang. Kak Nadirah... Lembut seperti orangnya juga. Entah kenapa aku begitu menyenanginya sejak mula. Mungkin kerana aku merindukan seorang kakak sepertinya.. Dia senyum sendiri.
Liza menjegilkan mata. Tidak senang hati.
“Hai, seronok nampak! Jangan nak berangan. Jom kita pergi. Dah lewat ni!” Tingkahnya sekaligus menghapuskan lamunan Azura. Azura mengerling tajam. Hatinya kembali membara. Tegang. Geram. Ish! Aku memang benci orang macam ni! Benci!!! Lepas ni, aku tak nak ikut kau lagi!Aku tak akan ikut kau lagi! Kau tengoklah nanti!!!
0 comments:
Post a Comment