Template by:
Free Blog Templates

Sunday, February 28, 2010

 Memori Selamanya ~ Sepuluh ~

 

ami

 

 

 

          Ariza duduk bersandar pada tiang khemah PBSM. Matanya dihalakan ke tengah padang. Melihat acara balapan yang masih berlangsung. Pada ketika ini, beberapa orang peserta sedang berusaha untuk menamatkan larian 1500m perempuan. Berlari mengelilingi padang untuk berapa kali pun dia tak pasti. Begitu jauh! Boleh semput aku dibuatnya... desis hatinya. Dia mengangkat kedua lututnya lalu memaut kemas. Dia terus memandang. Sesekali matanya melilau ke tempat lain. Pelajar lain sibuk dengan hal sendiri. Merayau-rayau di sekitar. Hmm... beginilah keadaan kalau sukan sekolah. Masing-masing sibuk. Dia meletakkan dagu di atas lutut.

          “Eh! Ada orang jatuh di tengah padanglah.” Seru Ardilla tiba-tiba mengejutkan suasana yang sedia sibuk. Ariza serta merta menoleh. Memandang. Tercari-cari. Seketika dia terkejut. Liza?

Cikgu Azman maju ke depan. Turut memandang.

          “Cepat tolong dia! Bawa dia keluar dari padang.” Usul cikgu Azman lalu memandang ke arah Ariza. Ariza akur. Dia bangun dan terus berlari keanak-anakkan menuju ke tengah padang. Segera menghampiri Liza yang masih tersungkur.

          “Liza, kau tak apa-apa?”

          “Hah! Riz? Aku... aduh! Sakitnya...” Keluhnya ketika cuba hendak bergerak. Hendak bangun. Dia tersungkur kembali dan mula memegang pergelangan kakinya. Mengadu kesakitan. Tidak lama, dia memaut tangan Ariza erat. Ariza segera membantunya untuk duduk. Ariza membongkokkan badan.

          “Liza, kau okay tak? Boleh bangun tak ni?”

          “Kaki aku, Riz...” Adunya sambil memegang kaki.

Ariza segera memegang pergelangan kaki Liza. Terasa di hujung jari urat kaki sedang membengkak dan begitu menonjol.

          “Sini ke yang sakit?” Tanyanya lalu menekan sedikit.

          “Aduh! Riz, jangan kuat sangat! Sakit tau!” Liza mengadu lagi. Dahinya berkerut. Menahan kesakitan. Sesekali dia menggerakkan kakinya. Ingin mengelak dari terus ditekan. Ariza menghela nafas pendek.

          “Aku rasa kaki kau terseliuhlah, Liza. Urat kau timbul. Tak apa, mari aku tolong kau keluar dari sini. Kau paut bahu aku tau.” Ujarnya lalu memapah tubuh Liza untuk bangun dan kemudian berjalan keluar dari tengah padang. Liza menurut. Di hatinya, terbetik rasa kesal kerana tidak dapat menamatkan larian. Ish! Kenapalah aku boleh terjatuh? Tinggal 2 pusingan lagi nak habis... Bentaknya dalam hati.

          “Bagaimana keadaannya, Ariza?” Tanya Cikgu Azman menghampiri sebaik saja tiba di khemah PBSM. Ariza membantu Liza untuk duduk sambil bersandar. Kemudian dia turut duduk di sebelah.

          “Saya tak pastilah, cikgu. Mungkin terseliuh.” Ujarnya perlahan. Liza melirikkan mata. Memandang Ariza. Macam tau aje!

Cikgu Azman berfikir sejenak. Dia merenung pergelangan kaki Liza. Terdapat jalur-jalur hijau yang jelas dan kesan bengkak yang mula kelihatan. Ehm! Mungkin juga...

          “Ehm, mungkin betul kata kamu, Ariza. Tapi apa pun, kita kena pastikan juga. Nanti saya suruh Ardilla tolong kamu ya.” Ujarnya lalu bangun dan menghampiri Ardilla yang sedang minum. Liza memandang Ariza.

          “Kak Ardilla nak buat apa? Sakit tak? Lama tak?”

Ariza menggelengkan kepala. Antara ya dan tidak.

          “Entahlah. Aku pun tak tahu. Mungkin sekejap saja. Tapi, kau kena tahanlah.” Ujarnya bernada memujuk lalu memaut kedua lututnya. Menanti Ardilla. Dia termanggu.

Liza terus memandang Ariza. Lama. Macam tak percaya pula dia duduk di sebelahku. Begitu jelas raut wajahnya. Cutenya dia... Ah! Kenapalah aku tak perasan selama ni... Gumamnya berbisik.

Tidak lama, Ardilla datang dan mengambil tempat di hadapan Liza. Dia mula membuka kotak first aid.

          “Ehm... akak tak pasti lagi sama ada kamu terseliuh ke tak, tapi kamu cuba tahan ya. Mungkin juga sakit. Bergantung pada kamu.”

          “Kak Dilla ada pengalaman ke sebelum ni?” Tanya Ariza tiba-tiba. Ingin Tahu.

Ardilla tersengih. Tapi tidak menjawab. Liza bungkam. Cuak.

          “Eh! Kak...”

Ardilla ketawa kecil. Dia mula memegang pergelangan kaki Liza. Tekanan yang kuat membuatkan Liza sesekali mengeliat. Tanpa disedari, dia mencapai lengan Ariza. Ariza terkejut namun tidak berkata apa. Liza menggenggam kuat lengan Ariza. Semakin sakit, semakin erat pegangannya. Ariza membiarkan.

          “Bagaimana sekarang, Liza? Dah rasa okay sikit?” Tanya Ardilla sebaik saja selesai. Dia menyimpan kembali minyak angin ke dalam kotak first aid.

Liza menggerakkan kakinya sedikit. Tak lagi merasa sakit seperti sebelumnya. Lega. Dia melepaskan lengan Ariza. Tiba-tiba dia tergamam. Seperti baru tersedar. Dia merenung Ariza, namun Ariza memandang ke arah lain.

          “Dah kurang sikit. Terima kasih, kak Dilla.” Ucapnya sambil tersenyum. Dia membetulkan duduknya. Sesekali dia memandang Ariza.

          “Baguslah kalau begitu. Err... Liza, akak rasa kamu patut balik asrama. Berehat di bilik sakit. Kalau kamu tunggu di sini pun, tiada gunanya juga.”

          “Tapi kak, saya takut saya tak boleh jalan. Manalah tau tiba-tiba saya terjatuh di tengah jalan. Saya tak berani lah, kak.”

Ardilla memegang dagunya. Berfikir. Mungkin betul juga... Akuinya perlahan. Seketika dia menoleh dan memandang Ariza yang duduk di sebelah Liza. Tiba-tiba dia tersenyum.

          “Err... Riz, boleh tak kamu hantarkan Liza balik ke asrama?”

Ariza terpaku seketika. Kejut. Kelu. Segera dia memandang Liza, kemudian Ardilla.

          “Hah! Hantar Liza balik asrama?”

Ardilla mengangguk.

          “Riz temankan Liza ya. Kakak takut Liza terjatuh nanti. Bolehlah ya.” Pujuknya lembut sambil memegang bahu Ariza. Agak lama Ariza mendiamkan diri.

          “Lepas hantar Liza, Riz tak perlulah datang sini lagi. Riz balik bilik je. Nanti akak cakaplah dengan cikgu Azman. Boleh ya...” pujuknya lagi. Ariza menghela nafas pendek.

          “Yelah, kak.” Akurnya sambil memandang Liza.

 

Ariza terus mengiringi di setiap langkah Liza. Berjalan seiringan menuju ke perkarangan aspuri. Keduanya hanya membisu. Mendiamkan diri. Tidak tahu hendak membicarakan apa. Sesekali Liza melirikkan mata memandang Ariza. Wajah yang serius!

          “Err... Riz, kau marah ke?” Tanyanya memulakan bicara.

Ariza menoleh. Langkah tetap diteruskan.

          “Marah? Taklah. Kenapa pula kau cakap macam tu?”

          “Kau diam saja dari tadi. Mana tau kau marah pasal kau terpaksa temankan aku balik asrama.” Agak lembut suara Liza.

          “Taklah. Aku tak tahu nak cakap apa.” Ujarnya sambil menggelengkan kepala. Mengakui kelemahan dirinya.

          “Eh! Riz, thanks pasal tolong aku. Juga kerana kau terpaksa temankan aku balik ke asrama.”

Ariza cuba menarik bibir untuk senyum. Cubalah kau senyum sikit... kata-kata Rosniah terngia di telinganya. Dan akhirnya dia berjaya. Liza terpaku sejenak.

        “Tak apa. Itukan perkara kecil. Macam mana sekarang? Kau masih rasa sakit lagi tak?”

Liza menggelengkan kepala lambat-lambat. Dia terus menatap wajah Ariza yang kini memandang ke depan.

          “Baguslah kalau begitu.” Ujarnya tanpa menoleh dan dia senyum lagi. Liza tergamam. Manisnya... Aku tak pernah tengok dia senyum selama ni. Tapi... Betul ke dia senyum pada aku? Betul ke? Atau mata aku yang rabun? Desisnya bagai tidak mempercayai.

0 comments:

Post a Comment

Bookmark and Share

My Recent Blog's

When My Heart Say...