Ariza masih berdiri di depan cermin. Dia meletakkan sedikit gel pada rambutnya kemudian menyisir kemas. Rosniah sekadar memerhatikan dari tempat duduk Ariza. Menanti.
“Wah! Kau memang comel lah kalau jadi lelaki, Riz. Boleh terpikat aku dibuatnya. Isk! Mujurlah aku ni kuat iman. Kalau tak, mau nya aku jatuh cinta dengan kau ni. Kalau kau nak menyamar pun, senang saja orang percaya.” Selorohnya sambil membetulkan duduknya.
Ariza menggelengkan kepala.
“Kau ni, jangan cakap begitu lah. Nanti orang ingat aku perasan pula.” Balasnya lalu menghampiri Rosniah dan duduk di sebelahnya.
Rosniah ketawa berdekah-dekah. Dia bersandar tegak.
“Jangan pedulikan cakap orang. Aku cakap betul ni. Kau memang cute. Tapi... Kalau aku cakap, jangan marah ya. Kau cuma kurang satu perkara je. Senyum. Ehm... Cubalah kau bawa senyum sikit. Manis tau bila kau senyum. Aku tak sukalah kalau orang panggil kau budak sombong.”
“Kau rasa aku sombong tak? Entahlah. Tak kisahlah diorang nak cakap apa pun. Yang penting aku tak kacau diorang.”
“Tapi aku kisah tau, Riz. Aku tak sukalah. Kau kawan aku dan aku tahu kau bukan sombong pun.”
Ariza menyangga siku di atas meja. Diam sejenak. Tidak lama, dia menghela nafas dalam.
“Aku pun tak tahulah, Ros.Takkan aku nak menjadi orang lain semata-mata nak menyenangkan hati diorang. Biarlah diorang kenal aku sendiri.”
Rosniah menatap wajah Ariza. Lama. Ada perasaan simpati di benaknya.
“Mereka tak kenal kau, Riz. Diorang lebih suka dengar khabar angin. Aku pun kalau tak tegur kau hari tu, tentu sampai sekarang aku masih berprasangka begitu. Hah! Zura macam mana? Aku tengok kamu berdua begitu dekat, tapi macam orang asing. Aku hairan setiap kali aku datang ke bilik kau, dia mesti tiada. Dia pergi mana? Kamu tak bertegur sapa ke?”
“Jarang. Sebab aku sendiri pun tidak tahu nak cakap apa. Aku tak tahulah dia pergi mana. Apa yang aku tahu, dia rapat dengan Liza. Mungkin dengan Liza lah agaknya..”
“Liza? Hmm... Harap-harap suatu hari nanti, dia kenal siapa diri kau.”
Ariza senyum sikit. Di mindanya, terkenangkan Azura. Biarpun sudah hampir tiga bulan, namun hubungan mereka masih mempunyai tembok pemisah. Jarang bertegur di bilik kecuali ada hal penting. Hmm... Aku kah yang salah?
“Eh, Ros, apa kata kalau kita pergi dewan sekarang. Kau nak tak?”
Rosniah tersengih. Dia memandang jam pada tangan kanan.
“Eh! Kan masih awal lagi ni. Kenapa? Kau dah tak sabar ke?”
“Mungkin. Rasa macam dah tak sabar pula. Biasalah kalau perkara yang kita... Eh! Siapa pula tu?” Kata-katanya terhenti bila terdengar pintu bilik diketuk berkali-kali. Masing-masing terus memandang ke muka pintu. Pintu bilik diketuk lagi. Rosniah memandang Ariza.
“Siapa tu?”
“Entahlah. Aku pun tak pasti. Kejap ya, Ros.” Ujarnya lalu bangun dan menghampiri, lalu menguak sedikit daun pintu. Rosniah terus memerhatikan.
“Ah! Liza? Kenapa?” Tanyanya agak terkejut dengan kehadiran yang tiba-tiba. Liza tercengat di muka pintu. Dia terus menjenguk kepala ke dalam bilik. Seperti mencari sesuatu. Sejenak dia terpandang Rosniah yang juga memandangnya dengan seribu kehairanan. Dia mencebik bibir. Ada juga orang yang rapat dengan budak sombong ni! Entah apa budak sombong ni buat pada dia? Getusnya sendiri.
“Apa yang kau tengok tu? Kau cari apa?” Ulang Ariza lagi bila pertanyaannya tidak dijawab. Sebaliknya, terus meneropong ke dalam bilik. Dia tidak senang hati.
“Hah! Zura ada tak?” Akhirnya dia bersuara setelah gagal mencari dengan matanya. Liza menatapnya. Merenung wajah yang serius di depannya.
Ariza menggelengkan kepala.
“Tak ada. Bukan kau selalu bersama dia ke?”
“Mana ada. Kalau dia bersama aku, tak adalah aku nak datang sini cari dia! Menyusahkan aku jer!”
Ariza diam seketika. Seketika dia menggelengkan kepala. Hmm...
“Mungkin dia pergi jumpa Kak Nadirah.” Bisiknya antara dengar dan tidak. Dia cuba meneka.
“Kak Nadirah? Ish! Makin rajin pulak dia jumpa kakak tu! Aku ingat nak ajak dia jumpa kak Farina. Okaylah, Bye!” Getusnya geram terus berlalu pergi.
Ariza sekadar menarik nafas panjang, kemudian menolak sedikit daun pintu, namun masih terbuka. Dia kembali menghampiri Rosniah.
“Tak sangka aku cakap perlahan pun dia boleh dengar.”
“Telinga lintah kot. Lain kali kau berhati-hatilah sikit. Baran juga dia tu! Macam mana lah Zura boleh tahan dengan perangainya tu. Eh! Zura selalu berjumpa dengan kak Farina ke? Ish! Orang tu...” Sungutnya perlahan. Tidak begitu menyenangi.
Ariza mengambil tempat duduknya semula.
“Dulu. Itupun pasal Liza yang ajak. Tapi sekarang, aku tengok dia dah mula rapat dengan kak Nadirah. Selalu juga dia jumpa kak Nadirah.”
“Kak Nadirah? Eh! Baguslah tu. Contoh yang baik untuk dia. Kalau kak Farina... Ish! Aku bukan suka sangat dengan perangai kak Farina tu. Ber trap hebat! Kau tak kisah juga ke dia rapat dengan kak Nadirah?”
“Tak. Aku suka bila dia rapat dengan kak Nadirah. Sebab mukanya sentiasa gembira. Senyum jer bila balik bilik. Aku suka tengok.”
“Haa... Rupanya dalam diam, kau minat Zura ya... Bocor rahsia!” Usiknya lalu ketawa kecil. Dia memukul lengan Ariza perlahan. Ariza tersentak. Seperti tersedar dari mimpi. Dia tersipu-sipu. Pipinya mula kemerahan. Malu.
“Eh! Taklah. Mana ada... Kau ni... Janganlah nak malukan aku pulak! Aku cuma suka tengok dia gembira. Itu aje. Aku rasa tak salah kan. Sudahlah, aku nak pergi ke dewan.” Ujarnya lalu bergegas bangun dan menggalas beg ke bahu. Dia terus maju menuju ke muka pintu. Rosniah turut bangun. Tawanya masih bersisa. Lucu dengan tingkahlaku Ariza. Pandai nak mengelak juga rupanya dia ni... Desisnya sambil tersenyum lalu mengekori dari belakang.
* * * * * *
Ariza berdiri di depan cermin yang bergantung pada dinding loker. Dia menguak kemas rambutnya yang masih basah. Baru selesai mandi. Sesekali angin malam yang bertiup kuat menerobos masuk dari celahan tingkap, mengalun lembut rambutnya. Malam ni tiada program, kerja sekolah pun dah siap, jadi bolehlah rehat... Desis hatinya. Niat di hati ingin berbaring seketika, namun tidak jadi. Dia membatu seketika. Memandang Azura yang sedang membaca. Tiba-tiba terbetik rasa hairan apabila melihat Azura membaringkan tubuhnya di atas lantai, bawah katil. Seolah-olah bersembunyi. Ariza menghampiri namun hanya berdiri di tepi katilnya.
“Zura, kenapa kau baring di atas lantai? Tak elok untuk tulang. Kau tak rasa sejuk ke?”
“Tak. Saja tukar angin. Eh! Riz, boleh kau tolong aku tak?” Dia memandang sambil meletakkan buku di atas dadanya.
Ariza mengerutkan kening. Hairan.
“Tolong? Tolong apa?”
“Kalau Liza datang cari aku, kau cakap aku tiada. Aku malaslah nak jumpa dia. Kau tolong ya.” Ujarnya lalu meneruskan pembacaan.
Ariza tidak menjawab, namun dia mengangguk. Hatinya tertanya-tanya. Kenapa Zura nak mengelak? Ehm... Hairan! Bisiknya lalu kembali ke meja.
“Zura, eh! Riz? Err... Zura ada tak?” Sergah Liza tiba-tiba muncul dan tercegat di muka pintu. Niatnya untuk terus masuk tidak jadi. Segan dengan Ariza. Ariza tidak jadi duduk. Dia memandang Liza. Orang ni... Tak reti nak bagi salam ke? Langkahnya maju menghampiri Liza.
“Zura tiada. Kenapa? Ada apa-apa pesanan?” Begitu mendatar jawapannya.
“Zura tiada? Ish! Ke mana pula dia pergi ni...? Dia ada kata pergi mana tak?”
Ariza menggelengkan kepala. Sedikitpun tidak berpaling mahupun menoleh ke arah lain. Sebaliknya terus mengajak Liza untuk bertentangan mata dengannya. Liza gusar.
“Ish! Ke mana pula dia ni...? Susah sangat nak jumpa dia hari ni. Ini mesti jumpa kak Nadirah lagi! Bosan betullah!” Cetusnya marah dan terus beredar begitu saja.
Ariza hanya mendengar sungutan Liza. Tidak berkata apa, sebaliknya membiarkan saja. Perangai...! Dia menutup pintu bilik. Rapat. Lock dipasang. Dia menoleh memandang Azura.
“Zura, aku rasa Liza marahkan kau. Kau tak apa-apa ke?”
“Biarkan dia, Riz. Asyik cakap dia jer yang aku nak dengar. Macamlah hari esok tak ada!” jawabnya bernada protes. Ariza terdiam. Fikirannya menerawang seketika.
“Err... Riz,” Ariza terus menoleh. Azura memandangnya. “Thanks! Kerana tolong aku tadi.” Ucapnya lalu meletakkan buku di atas dada. Dia senyum memandang Ariza. Tidak lama, dia mengangkat bukunya semula lalu meneruskan pembacaan.
Ariza hanya membatu. Tidak menjawab. Juga tidak senyum. Hanya melemparkan satu renungan yang bermakna.
0 comments:
Post a Comment