Ni sambungan dari part sebelumnya. Takut nanti ada yang terkejut pula tiba-tiba baca, dah perbualan bukan intro.. hehe!
“Kenapa ni, Zura? Kau ada masalah ke?” Tanyanya lalu berdiri di depan Azura. Ah! Mujurlah tidak ramai orang yang berada di belakang Zura... Desis hatinya. Azura masih mencari-cari.
“Riz?” Sekilas terbayang dalam fikirannya. Azura menoleh.
“Eh! Kau Riz? Kau ada di sini juga? Kau shopping juga ke?” Soalnya agak terkejut bila terpandang Ariza. “Aku tengah cari dompet ni. Terlupa pula di mana aku letak.” Sambungnya lagi. Terus membuka di setiap sudut begnya. Begitu risau.
Melihatkan Azura, Ariza menjadi resah. Hatinya menjadi serba-salah.
“Tak apalah, Zura. Biar aku bayarkan. Err... Berapa, kak?” Soalnya lalu memandang cashier itu. Dia menatap skrin kecil yang memaparkan jumlah yang diperlukan. Cashier itu tersenyum. Pulak kakak ni...!
“Semuanya RM 26.10.”
“Eh! Tak payahlah, Riz. Bukannya banyak sangat pun. Cuma aku...”
Ariza tidak menghiraukan. Dia terus mengeluarkan dompet dari poket seluar, membuka lalu mengambil sekeping not agak kebiruan. Azura tergamam. Pencariannya terhenti. Hanya melihat not kertas itu sudah bertukar tangan pada cashier itu.
“Bakinya serahkan pada dia ya.” Ujarnya sambil memandang Azura, kemudian bergegas keluar dari kedai itu. Terlupa akan pesanan Rosniah. Dia menarik nafas panjang lalu berdiri berhampiran pintu masuk. Entah kenapa aku tak boleh tengok dia susah hati... Ahhh! Tak pasal-pasal dadaku berdebar-debar.
“Hah! Di sini rupanya kau bersembunyi ya... Kan aku kata jangan lari.” Sergah Rosniah mematikan bisikan hatinya. Ariza menundukkan pandangan.
“Maaflah, Ros. Aku terlupa lah. Kau dah selesai membeli ke?”
Rosniah tersengih. Sejenak dia menoleh ke belakang lalu memegang bahu Ariza.
“Dah lama selesai pun. Aku cari kau lah ni... Hilang pulak! Ehem! Kau lari dari Zura ya... Aku ternampak kau bersama Zura di kaunter tu. Dia ada masalah ke?”
Ariza mengangkat muka lalu memandang Rosniah. Dia menarik nafas dalam.
“Dia tertinggal dompet agaknya. Tapi entahlah, aku rasa seperti tak sanggup tengok dia susah hati. Rasa macam sakit jer.” Luahnya lambat-lambat.
Rosniah ketawa kecil.
“Kau susah hati sebab dia roomates kau ke? Ke mungkin ada sebab lain...”
“Sebab lain? Maksud kau?” Keningnya berkerut. Tertanya-tanya.
“Takkan kau tak tahu... Sebab kau sayangkan dia lah.”
“Sayang? Isk! Tak adalah!”
“Hish! Kau jangan salah faham pula, Riz. Maksud aku, kau sayangkan dia kerana dia kawan kau. Kau ambil berat pasal dia sebab dia roomates kau. Sebab dia kawan kau. Bukan pasal kau sukakan dia. Hish! Tu dah lain tu..”
Lama Ariza mendiamkan diri. Tidak menjawab. Dia memandang ke arah lain. Masih memikirkan. Sayang?
“Sudahlah tu. Jangan difikirkan sangat. Kalau kau memang sayangkan dia, apa salahnya. Itu perkara biasa bagi semua orang... Aku pun sayangkan kau juga. Jom, kita pergi makan!” Ajaknya lalu maju ke depan.
Ariza menurut dari belakang. Matanya memandang di setiap langkah yang ditinggalkan oleh Rosniah, namun fikirannya jauh menerawang. Menafsir sehingga mampu menembusi bangunan konkrit itu. Mengenangkan Azura semula. Kalau aku mengambil berat pasal dia, bermakna aku sayangkan dia ke? Bisik hatinya terus tertanya-tanya.
* * * * *
Ariza berdiri di depan tingkap. Melempar jauh pandangan mata nun jauh ke luar bangunan. Kedua tangan dimasukkan ke dalam poket seluar. Hasratnya ingin menenangkan fikiran, menghayati keindahan petang juga merasai hembusan lembut angin yang mendamaikan. Namun seringkali juga ingatannya terhadap Azura kembali bertaut. Kalau aku selalu menolong dia, adakah itu bermakna aku sayangkan dia? Aku cuma tak sampai hati nak tengok dia bersedih. Seperti Kak Long yang tak sampai hati tengok aku sedih. Tapi itu sebab dia kakak aku... tentulah dia sayangkan aku sebagaimana aku sayangkan dia. Ah! lupakan sajalah. Buat berat kepala jer nak memikirkan.
“Riz,”
Ariza tersentak. Panggilan yang lembut. Serta merta lamunannya hilang. Dia menoleh. Azura memandang sambil tangan kanan menyeluk poket seluarnya.
“Aku nak kembalikan baki duit kau tadi. Terima kasih kerana menolong aku.” Ucapnya lalu menghulurkan beberapa keping not kertas juga kepingan syiling kepada Ariza. Ariza terpaku. Lama dia menatap not kertas itu tanpa suara. Seperti agak keberatan untuk menerimanya semula. Kemudian, matanya beralih ke wajah Azura pula.
“Zura, duit ni...”
“Ehm! aku ingat nak kembalikan semuanya sekarang. Tapi aku tiada duit tukar. Jadi, aku kembalikan wang ni dulu. Selebihnya aku beri kemudian. Bolehkan..” Jelasnya sambil tersenyum.
Ariza menghela nafas panjang. Agak berat tangannya untuk keluar dari poket dan mengambil wang itu dari tangan Azura.
“Tak sangka pula lepas kau tolong aku, aku terjumpa semula dompet aku. Maaflah kerana menyusahkan kau tadi, Riz.” Sambungnya lagi lalu membetulkan anak rambut yang menutupi dahi.
Ariza menggenggam wang itu, kemudian memasukkan ke dalam poket seluar semula. Dia menatap wajah Azura. Ada kelembutan yang terpancar di wajahnya.
“Zura, baki selebihnya tak perlulah kau kembalikan. Aku tak kisah. Anggap saja aku belanja kau.”
Azura tergamam. Raut wajahnya serta merta berubah. Terkejut.
“Aku ikhlas, Zura.” Jelasnya lagi. Dia cuba mengukir senyuman, namun hanya sedikit. Seketika dia memegang bahu kanan Azura, kemudian berlalu menghampiri mejanya.
Azura tercengang. Matanya terus mengekori Ariza yang kini duduk. Wajahnya tenang. Jelas menampakkan keikhlasan hatinya. Fikirannya mula bercelaru di antara kata hati juga kata-kata Liza. Eleh! Dia tu saja nak tunjuk baik pada kau. Maklumlah, kau kan roomates dia. Tentulah dia kena ambil hati kau. Tak nak kau kata dia sombong! Bukan boleh percaya sangat! Cemuhan Liza kembali terngia-ngia di corong telinga. Kata-kata yang dilafazkan sebaik saja Ariza berlalu keluar dari kedai itu. Tapi Riz... Dia bungkam. Perasaannya serba salah.
0 comments:
Post a Comment