Template by:
Free Blog Templates

Tuesday, December 29, 2009

 Memori Selamanya ~ Dua

 

images1

 

 

          “Azura, bangunlah. Awak tak solat Subuh ke?” Begitu lembut menusuk ke corong telinganya. Azura terjaga. Mimpinya serta merta hilang dalam sinaran lampu neon yang menerangi bilik. Dia menguap lalu duduk. Matanya berkerdip-kerdip. Ariza menuju ke mejanya. Dia membelek buku berwarna hitam.

          “Pukul berapa ni?” Tanyanya sambil menguap lagi.

          “Hampir 5.30 pagi.” Jawab Ariza sambil memasukkan beberapa buah buku ke dalam beg sandang berwarna hitam.

          “Awal lagi. Ahh! Mengantuknya...” Rungutnya lalu menghempaskan tubuhnya semula. Dia memejamkan mata. Terasa kelopak matanya begitu berat untuk dibuka. Majlis penutupan minggu orientasi yang berlangsung semalam begitu memenatkan. Apatah lagi ianya lambat berakhir. Hari ini kena bangun awal untuk pergi kelas pulak. Ahh!!! Kalaulah boleh ponteng sekolah... bisiknya lalu mnutup mukanya dengan bantal.

          “Azura...”

Sekali lagi suara Ariza berkumandang. Dia bercekak pinggang, bersandar pada meja sambil memandang Azura. Senyum sendiri.

Azura duduk semula. Lambat-lambat dia bangun kemudian mengemaskan katil.

          “Hari ni awak baru masuk kelas. Kalau boleh kita jalan awal sikit. Awak ikut saya ya.”

Azura mengangguk lemah. Tangannya ligat melipat selimut. Hmm... tak sangka dia ni prihatin juga. Baguslah... Sekurang-kurangnya taklah aku kalut sangat nak masuk kelas pada hari pertama. Desis hatinya sambil menutup mulut dengan telapak tangannya. Menguap lagi!

 

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *

Azura sekadar mengekori dari belakang Ariza. Agak kekok. Tidak tahu arah mana yang perlu dituju. Apabila Ariza berhenti, dia turut berhenti. Mengikut apa juga yang dilakukan oleh Ariza. Sesekali matanya melilau memerhatikan persekitaran kawasan sekolah. Sinar suria mula mnerjah di jendela langit. Namun suasana masih sunyi biarpun ada beberapa orang pelajar yang bertembung dengannya. Diorang ni masih melayan mata lagi agaknya...

          “Kita dah sampai.” Ujarnya sebaik saja tiba di muka pintu kelas 1 Intelek. Dia menoleh memandang Azura. Azura terkejut.

          “Hah! Ini kelas kita?” Dia terpacak di muka pintu. Langkah kakinya menjadi berat untuk masuk. Tiba-tiba dia menjadi gementar. Dia menjengahkan kepala ke dalam. Wajah-wajah asing mula menatapnya penuh kehairanan. Azura segera menarik kepala. Tidak selesa.

          “Err... kelas ni ramai orang tak?”

“Ramai juga. Tapi waktu ni belum ramai yang datang. Saya sengaja bawa awak datang awal supaya tak bertembung dengan mereka. Takut awak tak selesa pulak.”

Azura tergamam. Macam dia tahu-tahu saja!

          “Err... kalau begitu, saya nak duduk di mana? Ada meja kosong lagi tak?”

Ariza meletakkan buku yang didakapnya di atas meja berhampiran pintu. Raut wajah Azura ditatapnya.

          “Ada tiga lagi tempat kosong. Tapi dua tu duduk bersebelahan dengan pelajar lelaki. Yang satu lagi... sebelah tempat duduk saya.”

Sekali lagi dia terpaku. Wah! Duduk bersebelahan dia? Sudahlah satu bilik, takkan lah di kelas pun nak bersebelahan juga... Aduish! Tapi... rasanya itu lebih baik dari duduk bersebelahan dengan pelajar lelaki. Lebih selamat. Bisik hatinya.

          “Awak nak yang mana?” Tanyanya ingin kepastian.

          “Err... Kalau begitu, saya nak duduk sebelah awak. Saya harap awak tak kisah. Boleh ke?”

Ariza senyum sedikit. Dia mengangguk.

 

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *

Azura termanggu sendirian sambil berdiri di koridor luar kelas. Sesekali dia melemparkan pandangan mata ke tingkat bawah. Memerhatikan pelajar lain yang sedang berkeliaran tatkala masa rehat menjelang. Begitu sibuk dan bising. Seperti berada dalam kumpulan tebuan! Gumamnya sendiri. Dia meletakkan kedua tangannya di atas koridor. Ehm... Memang payah kalau pindah ke sekolah baru. Terpaksa menyesuaikan diri. Malah, sukar nak mencari kawan pada awalnya... Desis hatinya.

          “Hai! Awak seorang jer ke? Tak pergi kantin?” Sapa seorang gadis tiba-tiba sambil menepuk bahu Azura. Azura tersentak. Segera dia berpaling. Terpaku sejenak. Raut wajah itu ditatapnya. Cuba mengingat siapa. Macam pernah jumpa. Oh! Rakan sekelas rupanya. Tapi siapa pula namanya?

          “Hai!” Hanya itu sahaja yang keluar dari bibirnya. Agak ragu.

          “Eh! Awak pelajar baru dalam kelas saya kan? Tak perasan lah pulak. Awak cantiklah. Siapa nama awak? Awak tak pergi kantin ke?”

Tiba-tiba Azura rasa malu. Dia ni... Banyaknya soalan... Cakap tak berlapis lagi!

          “Azura.” Jawabnya pendek. Itu saja soalan yang dia jawab.

          “Oh! Baru saya ingat. Rupanya awak yang duduk sebelah budak sombong tu kan. Hish! Kenapa awak duduk sebelah dia?”

Azura terpaku lagi. Keningnya berkerut. Soalan apa pula ni...

          “Budak sombong? Siapa?” Soalnya bingung. Dia cuba mengingat kembali pelajar yang dimaksudkan itu. Duduk sebelahku? Eh! Ros Aniza ke? Dia budak sombong ke? Dia jahat ke?

          “A’ah! Budak tomboy sebelah awak tu. Kalau tak silap saya, awak sebilik dengan dia kan. Kasihan awak... Orang kata dia tu sombong. Suka pentingkan diri. Tak reti nak senyum!” Cemuhnya lagi lalu bersandar pada dinding koridor. Bersebelahan Azura.

Azura menghela nafas pendek. Dia mula merasa gusar. Antara percaya dan tidak.

          “Tapi dia baik. Mustahil lah. Takkanlah pulak!” Tingkahnya masih ragu-ragu. Dia memandang gadis itu. Di fikirannya mula terbayang Ros Aniza dari awal pertemuan. Dia tak pernah pula pentingkan diri seperti gadis ni cakap. Okay jer...

          “Itu kata awak! Awak belum kenal dia lagi. Nanti bila awak dah kenal, baru awak percaya cakap saya ni. Nasib awaklah sebab dapat roomates dan rakan sebelah duduk macam dia tu. Pasti awak menyesal nanti.”

Azura menggaru-garu kepala. Keliru. Bungkam. Sudah ditakdir aku dan dia di tempatkan satu bilik dan bersebelahan tempat duduk, aku terima sajalah. Memanglah dia serius, nampak macam sombong. Malah sejak awal bertemu pun, payah dia nak lemparkan satu senyuman. Tapi... dia tak ragu-ragu nak menolong. Setakat ni pun, dia tak pernah kacau hidup aku lagi. Ahh! Susah juga nak kata kalau aku baru kenal dia. Desis hatinya cuba menenangkan.

          “Dahlah. Jangan cerita pasal dia lagi. Bosan pulak! Daripada awak bersendirian di sini, lebih baik kita pergi kantin. Kenyang juga. Takkan awak tak lapar.” Sergahnya lalu memegang tangan Azura. Azura terpinga-pinga. Masih terkejut. Eheh! Dia ni... Kenal pun tak!

          “Eh! Awak ni siapa?”

          “Juliza. Tapi panggil saja Liza. Okay, jom kita pergi kantin.” Gesanya lalu menarik tangan Azura untuk bergerak. Azura menjadi buntu. Tiada pilihan lain lagi melainkan terpaksa mengikut rentak langkah Liza dari belakang.

0 comments:

Post a Comment

Bookmark and Share

My Recent Blog's

When My Heart Say...